Friday, 2 June 2017

Umrah (8)

Umrah 8
Hari kedua programnya bebas. Kami tidak terikat dengan aktiviti kumpulan. Bolehlah kami melakukan apa yang kami sendiri menghajatinya.
Tidur dalam sebuah bilik yang dikongsi berlima bukan mudah. Cabaran paling utama ialah melelapkan mata. Sedangkan masing-masing mempunyai nada dan stail dengkuran yang berbeza-beza lagi pula menggerunkan.
Sekitar jam dua pagi aku sudah bangun dan mandi. Seperti juga ketika berhaji dahulu, aku nekat untuk mengulangi rutin yang sama. Di sini tidak perlu berpuak-puak atau berkawanan ke masjid untuk menjamin keberkesanan mengerjakan matlamat kehadiran. Sudah dua bulan aku menyediakan keperluan beribadat – jasmani dan rohani. Betapa ruginya peluang yang sudah di depan diri terlepas, seakan Tanah Suci sama dengan tanah air sendiri. Ia tempat yang tidak sama dengan tanah halal
Aku menunggu R di paras RE. Kami berjalan ke Masjidil Haram bersama-sama kira-kira pukul 3 pagi. Jemaah belum lagi ramai. Sebaik memasuki masjid kami berpisah untuk memilih tempat masing-masing. Kami tidak boleh duduk-duduk sebelah menyebelah. Lambat laun petugas akan menghalau jemaah berpindah ke ruang-ruang yang dikhususkan.
Aku memilih paras satu masjid. Belasan tahun dahulu aku lazim berada di lantai ini. Sambil beribadat aku dapat menatap Kaabah. Dari situ kalau kita ke birainya, dapat kita tinjau jemaah yang sedang bertawaf. Kita dapat saksikan kelengangan atau kesesakannya.
Kehadiran kali ini lebih bermatlamat dan lebih bersedia. Pada pukul 3 pagi di tingkat ini aku termasuk sebahagian kecil jemaah yang terawal. Tiada masalah untuk memilih tempat yang kita sukai. Aku mengambil tempat duduk berpermaidani paling hadapan. Lalu aku bersolat sunat – tahajjud, taubat, hajat dan witir 3 rakaat.
Sementara menunggu masuknya waktu Subuh, aku isikan masa yang terluang dengan membaca salawat empat puluh. Ada buku khusus yang dibawa berisikan salawat ini. Buku salawat ini telah pernah kubawa dan bacakan ketika mengerjakan fardhu haji dahulu. Ketika itu, tiga hari berturut-turut aku dianugerahi aliran air mata yang berlimpah ruah membasahi jubah. Aku teramat ingin mengalami semula saat yang menikmatkan itu.
Maka kuambilkan naskhah salawat itu. Kubacakanlah. Belum pun tamat membaca keseluruhannya, air mata itu datanglah. Aku teresak-esak tanpa tertahan lagi. Air mataku lejuh di pipi. Walau dikesat ia tetap tidak berhenti mengalir. Ia tidak sekali-kali dipaksakan. Tangisan itu datang sendiri tanpa dapat kujelaskan sebab-sebab sebenarnya. Seluruh anggotaku bergetar tanpa upaya mengawalnya. Aku tidak pun menghiraukan jemaah lain di samping. Tetapi mereka tentu mendengar esakanku.
Barangkali, air mata itu berlelehan kerana penyesalan ke atas dosa-dosaku yang banyak di dunia ini. Mungkin Allah SWT mendengar permohonan dalam solat taubat yang biasa kudirikan, di rumah dan baru sekejap tadi. Tetapi anehnya, tangisan tidak pernah berlaku ketika beribadat kalau tidak kerana membaca salawat ini, sebelum ini, di mana-mana pun. Ia berulang lagi. Tetapi hanya di Masjidil Haram!

No comments:

Post a Comment