Umrah 19
“Puasa” di Mekah
Pada suatu petang aku menggunakan pintu bereskalator 90-an (?) ke Tingkat Satu Masjidil Haram untuk bersolat Maghrib. Oleh sebab masih awal, tempat pilihan tidak bermasalah diperolehi. Dewan solat itu sebenarnya tidak jauh dari pintu masuk. Ia bukan dewan yang terbuka menghadap Kaabah sebaliknya ruang tiga suku tertutup terletak di bahagian dalaman masjid. Tempat itu selesa, cantik, bertiang banyak dengan siling berhias menyeronokkan mata. Aku perhatikan jemaah yang sedia ada melakukan aktiviti masing-masing; ada yang membaca Al-Quran, ada yang berbual-bual ringan secara terkawal (tidak meninggikan suara), dan tidak kurang yang membaring-baringkan diri serentak mengambil ruang atau menguasai kawasan yang lebih luas. Aku memilih saf keempat, mendirikan solat tahyatul masjid, dan duduk beramal. Dalam keadaan demikian, antara perkara yang dilakukan ialah membaca sambil cuba menghafal keratan surah Al-Quran dan doa-doa terpilih dalam henfon yang memang kukumpulkan sebagai persediaan berumrah, dan melihat-lihat sekeliling termasuk ke arah para jemaah yang sentiasa lalu-lalang mencari-cari ruangan solat yang mereka sukai.
Lebih kurang setengah jam bakal masuk waktu Maghrib, kulihat beberapa orang Arab berjubah dengan serban tipikal berwarna merah putih Saudi datang berhampiran tempat aku sedang duduk. Mereka membawa beg berisi kendi dan termos dan beg plastik makanan bermuat roti, kurma dan lain-lain. Setelah meninjau sekitaran seketika mereka memutuskan untuk berpangkalan di situ. Para jemaah lain yang sedang duduk mengensot berundur memberi ruang. Mereka pun mencelah duduk sambil meletakkan barangan yang dibawa. Tidak syak lagi, di kalangan jemaah bahawa suatu jamuan akan diadakan sebentar lagi membabitkan mereka sama. Tentulah tidak sopan bahkan berdosa sekiranya mereka tidak dijemput meraikan majlis. Kukira demikian terlintas di fikiran masing-masing. Dan ternyata ada beberapa kumpulan dari ‘tuan rumah’ yang sama bertindak serupa di sekitaran tidak berjauhan dari situ, malah seakan bersambung.
Lima belas minit menjelang waktu Maghrib, kumpulan berkenaan berkerja ligat. Diselaknya permaidani yang menjadi sejadah solat itu dan ditariknya plastik nipis panjang yang sedia ada di bawahnya. Rupa-rupanya plastik nipis lut pandang selebar dua kaki menjadi hamparan untuk dihidangkan makanan di atasnya. Keseluruhannya, aku kira setiap saf yang terbabit menjangkau antara 40 hingga 50 kaki panjang. Setiap plastik yang dihamparkan di antara dua saf jemaah adalah untuk menampung dua saf. Ini bermakna jemaah yang di hadapan perlu beralih cara duduk, memusingkan badan, bersemuka dengan jemaah di saf belakangnya.
Para petugas kulihat mempunyai pengkhususan dalam mengagehkan makanan dan minuman. Ada pekerja mengawal buah kurma dan dialah yang memasukkan sejumlah yang wajar ke dalam bekas hidangan. Kemudian, seorang pekerja lain meletakkan ke atas hamparan. Ada juga pengagehan ini dipindah-pindahkan bergilir-gilir, dari tangan ke tangan para jemaah, sehingga hamparan itu berderetan dengan bekas-bekas berisi kurma. Begitu juga dengan makanan lain seperti roti, dan lain-lain di bahagi seimbang. Kemudian air minuman pula diageh dengan diisikan gelas-gelas kertas atau diberikan terus gelas plastik tersedia berisi. Di samping itu, ada juga minuman panas diedarkan, tetapi tidak menyeluruh. Tidak semua jemaah mendapat habuan kerana sumber tidak mencukupi.
Apabila waktu Maghrib sudah hampir benar, para jemaah sudah mulai berdepan antara satu sama lain, menunggu masa “berbuka”. Bagiku dan sebahagian besar jemaah tidak menjangkakan hidangan tersebut tetapi tiba-tiba sudah menjelma di depan masing-masing. Kuperhatikan segelintir sahaja yang ‘menolak’ rezeki itu, tentulah dengan sebab-sebab tersendiri. Aku termasuk dalam kumpulan majoriti ingin menikmatinya. Tiba saatnya, aku bergegas menyertai ‘tuan rumah’, berbuka walaupun tidak berpuasa.
Majlis ‘iftar’ itu segera selesai sebaik azan sempurna dilaungkan. Para petugas dengan segera membungkus bekas-bekas dan sisa-sisa makanan yang berbaki menggunakan hamparan plastik yang terpakai tadi. Ruang solat kembali seperti asal dalam seminit dua sahaja. Aku perhatikan, pekerja masjid sendiri pun ada membantu mengemaskan ruang solat untuk mempastikan para jemaah yang baharu berbuka tadi selesa bersolat Maghrib berjemaah, seakan tiada pun majlis iftar tadi.
Aku sekali lagi bernasib baik menyaksikan dan terlibat dalam majlis berbuka oleh ‘tuan rumah’ yang lain. Walaupun diadakan pada ruang solat berbeza ‘modus operandi’nya serupa. Aku bersyukur berada pada tempat dan tepat pada masanya. Selama ini aku hanya mendengar majlis sebegini tanpa mengalami sendiri secara langsung. Dua pengalaman dilalui berbuka tanpa berpuasa memberi impresi positif tentang tradisi majlis iftar di Masjidil Haram. Kuakui ini satu majlis berbuka puasa yang ringkas tetapi amat teratur dan cekap dilaksanakan. Mereka benar-benar pelaksana profesional. Dan, dari satu segi lain, baiknya pembabitanku (walaupun pasif) itu sekurang-kurangnya, mengalas perutku seketika sebelum melengkapkannya dengan pakej standard makan malam di Restoran D’Saji selepas Isyak nanti.
No comments:
Post a Comment