Umrah (21)
Air Zamzam
“Assalamualaikum”, tegur seorang lelaki berkulit agak gelap kepadaku ketika kami bersama-sama menuruni eskalator di hotel Safwah. Jam ketika itu lebih kurang 3 pagi. Aku sendirian, dengan berjubah sedang meninggalkan hotel. “Waalaikumussalam ”, jawabku. Lelaki itu bertanya, “Malaysia?”. Aku mengiakan. Dia lantas memberitahu berasal dari Bangladesh. Dalam bahasa Melayu yang baik, dia memberitahu pernah tinggal di Malaysia selama tujuh tahun berkerja dibeberapa kilang di Pulau Pinang (termasuk di Seberang Perai). Tidak hairanlah kebolehan berbahasa Melayu beliau kerana aku sendiri pernah berjumpa dengan orang Bangladesh yang sudah boleh bercakap bahasa Melayu dengan baik setelah berada di Malaysia selama enam bulan!
Nama beliau Zakir dan berusia 30-an tahun. Dia kini telah tujuh tahun pula berada di Mekah. Kami beriringan menuju Masjidul Haram. Di satu tempat di dataran masjid kami berpisah. Aku memberitahunya mahu memasuki masjid menggunakan eskalator ke dewan solat tingkat 1. Beliau berlalu dan kulihat berhenti menyapa seorang pekerja masjid yang ditemui di situ. Dalam perjalanan ke ruang solat yang menghadap Kaabah, aku singgah minum air zamzam yang berderet tersusun di laluan tersebut, di ruang dalaman masjid. Sebentar kemudian, Zakir tiba-tiba sampai. Dia memberitahu dia berkerja di situ, mengendalikan tong-tong air zamzam. Kami tidak menyambung perbualan. Aku beredar mencari ruang solat untuk berqiamullail dan fardu Subuh hari itu.
Adalah menjadi kebiasaanku untuk minum dua gelas air zamzam setiap kali memasuki masjid. Tempat tong-tong atau paip air zamzam berada mudah ditemui. Ia diletak pada tempat yang strategik dan pada laluan utama. Kerap juga apabila hendak meninggalkan masjid aku akan singgah dan minum segelas dua air zamzam, apabila melalui tong-tongnya. Aku pun teringat pula, ketika datang mengerjakan haji belasan tahun dahulu, amalanku meminum air zamzam tidak jauh berbeza. Aku malah sempat turun ke kawasan perigi zamzam yang ketika itu pintu dan tangganya ada di dataran Kaabah. Sekarang ternyata tempat itu sudah terkubur.
Pengurusan air zamzam untuk minuman jemaah di Masjidul Haram (dan juga di Masjid Madinah) sangat cekap. Aku secara peribadi tiada sebarang rungutan. Para pekerja berdedikasi menjalankan tanggungjawab dan pastinya diawasi dengan baik oleh penyelianya. Sepanjang tempoh berada di sini tiada aku menghadapi masalah mendapatkan air ini.
Air zamzam disediakan dalam dua cara, iaitu berais dan tanpa ais. Bagi yang tidak berais dilabelkan supaya mudah dikenal pasti. Tong-tong air zamzam yang berais adalah lebih banyak berbanding yang tidak berais. Tentulah cuaca di Mekah menjadi sebab peratusan atau kadar kelainan itu. Jemaah barangkali lebih menyukai air zamzam sejuk untuk menghilangkan dahaga mereka. Bahkan kadang-kadang aku dapati di sebahagian deretan tidak ada tong-tong tanpa berais.
Pilihanku pula ialah air yang tidak berais. Ini untuk menjamin gejala batuk terkawal. Pun, apabila tiada kudapatinya, aku tetap meneguk yang berais. Kalau tidak, haus tidak terlayan. Dan setiap kali minum tidak pula kulupa membacakan doa, “ Ya Allah aku memohon pada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang luas dan kesembuhan dari segala jenis penyakit” dalam bahasa Arab. Sambil itu aku akan mengingat-ingatkan jenis-jenis penyakit yang sedang kuhidapi agar, insya-Allah, disembuhkan dengan berkat meminumnya. Apakah penyakit-penyakit itu? Boleh kusebut antaranya, kabur mata, darah tinggi, dan penyakit-penyakit lain lazim mengenai orang yang telah ‘tua’.
Selain minum di tempatnya, aku tidak lupa mengisikan botol plastik kosong yang kubawa dengan air itu. Botol-botol yang berisi itu kumasukkan dalam beg sandang yang sentiasa dibawa bersama-samaku. Air itu kadang-kadang kugunakan sekali-sekali untuk diteguk sedikit-sedikit, atau melapkan anggota badan, apabila perlu. Yang lebih lazim lagi, air dalam botol itu kuminum selepas selesai makan sajian di Restoran D’Saji.
Aku pernah juga menggunakan paip air zamzam yang disediakan di kawasan Saie untuk mengambil wuduk ketika aku berhajat meneruskan duduk di dalam masjid beramal sambil menunggu waktu solat fardu. Ia agak sukar sedikit dilakukan kerana paip itu bukan disediakan untuk maksud wuduk sebaliknya untuk minuman. Dalam keadaan kecemasan, kita terpaksa menyesuaikan kemudahan tersebut seupayanya kerana perlu sedikit ‘berebut’ dengan jemaah lain yang lebih mengerumuni tempat itu untuk maksud mengisikan botol atau bekas air minuman dan kemudian membawanya keluar.
Air zamzam menjadi tumpuan para jemaah. Ada kulihat mereka membawa botol besar untuk mengambilnya lalu dibawa pulang ke hotel. Aku juga tahu, ada rakan sebilik yang membawa balik ke hotel botol-botol plastik berisi air zamzam. Mereka beransur-ansur mengumpulkannya untuk dibawa pulang ke Malaysia.
Di Lapangan terbang Jeddah, ketika akan berlepas pulang aku perhatikan mutawif mengambil kotak-kotak berisi air zamzam untuk rombongan kami di satu tempat yang ditentukan sebaik kami turun bas dari Madinah. Setiap orang layak menerima sekotak. Kotak-kotak itu dibawa terbang bersama dalam kapal terbang MAS yang kami naiki. Di KLIA, mutawif akan mengagehkannya kepada kami.
Terbaru dan yang sedikit mengganggu, ialah berita tersiar ketika kami sudah pulang, melaporkan serbuan polis Saudi ke atas tempat pemprosesan air zamzam palsu di Mekah. Dinyatakan pula air paip biasa telah dilabel lengkap sebagai air zamzam. Harap-harapnya kotak-kotak berisi air zamzam yang sudah berada di rumahku itu tetap yang “ori”.
(Nota: Tong-tong minuman air zamzam itu dirakamkan di Masjid Madinah, kerana tiada gambar air zamzam di Masjidul Haram dalam koleksiku).
No comments:
Post a Comment