Pantulan 74/14: Berdebu
Sajak sahabatku yang gigih menoreh permasalahan pedih, Azmi Yusoff, “Dalam Ruang Marcapada”, Dewan Sastera, Januari 1993, muka surat 32, kusemaki, termuat juga dalam “Mengemam Jadam”, muka surat 50-51. Pemusnahan hutan belantara, penubaan segara luas saujana , “kemanusiaan lebur”, “peradaban hancur” melatarbelakangi kemuncak kemusnahan, tempat makhluk tinggal iaitu bumi. Dan para pemusnah itu tidak lain manusia itu sendiri, yang terlanjur menganjur oleh kejahilan, kedegilan, sehingga gagal membayangkan alam yang lebih nyaman dan selesa sesuai dengan keperluan yang setara semua makhluk; yang menuntut kegemblengan sempurna.
ASKAT: Aku kira kini sangat bertepatan sekali mengulangi rayuan Azmi (kepada yang diberi kuasa dan tanggungjawab), dengan, “kita dendangkan irama mazmur”; “titirkan circir kumandangkan tetuang” agar perlumbaan mengaut khazanah dan ‘membangunkannya’ untuk matlamat jangka pendek, katalah dalam tempoh beberapa tahun atau segenerasi dua mendatang terarah ke matlamat memakmurkan insan dan seluruh alam. Ertinya sampai Hari Penghabisan. Tentulah ini peringatan terakhir. Malapetaka yang telah berlaku, seharusnya mencukupi sebagai teladan untuk tidak menghadapi lagi, peristiwa-peristiwa yang berimplikasi ngeri. Alangkah, tidak bererti, tambahan pula kalau akibat-akibat peperangan, wabak dan yang sepertinya disenaraikan sekali.
No comments:
Post a Comment