Pantulan 67/14: Ngeri menanti
Maafkanlah. Aku tidak mahu melompati urutan apresiasi dengan melangkaui. Biarkanlah temanku ini lagi kuuli kerana memang dia yang datang mendahului dalam helaian puisi mengikut keserasian belekan hari ini.
Aku terharu sungguh membaca sajak Azmi Yusoff, “Episod Kupu-kupu (1)”, Mastika, Januari 1985, muka surat 30. Apalagi bila “…pelacur tua” yang gendala mencapai cita-cita yang diimpikan digambarkan pada akhirnya, “ketika ia memansuh dosa/jantungnya kian kehilangan degup/pintu langit telah hampir tertutup.” Ada jamahan menggetar sanubari. Ada kesan menghiris hati dikelar tragedi. Sewajarnya menginsafi sesiapa insani. Alangkah baiknya demikian terasa. Tiadalah sesia karya tercipta. Khalayak tidak rugi merenung makna.
ASKAT: Aku jangka kenyataannya permasalahan ini kian parah. Namun, setelah hampir 30 tahun kemudian, gejala pelacuran, atau semua kemungkaran lainnya yang mendosakan, kita mahukan berkurangan sungguh kalau pun tidak terhapus langsung. Memanglah ada peranan banyak pihak memakmurkan negara dan pada pentas individu peranan ibu bapa sangat utama dalam menggemblengkan pendidikan anak-anak dengan yang di bawah kawalan institusi masyarakat dan negara.
Orang terlanjur melacurkan diri kerana berbagai-bagai sebab. Yang lazim ialah ketiadaan peluang bekerja oleh sesuatu situasi yang gagal diatasi. Tetapi adakah kita simpati atau membenci, kalau orang mencemarkan maruah diri sedangkan mereka tahu dalam semua segi, profesion yang diceburi itu, sebenar-benarnya tidak dapat diterima sama sekali. Kita mendukung nilai-nilai murni dan kita akan menyokong masyarakat dan negara agar hasrat itu menjadi realiti. Pun, pencegahan adalah kaedah menyekat penularan. Serentaknya, terlampau banyak aspek harus diteliti berhabis-habisan. Kelemahan-kelemahan yang ditemui bukan untuk disimpan dalam perpustakaan. Ia menuntut dipertingkatkan serba-serbi tindakan susulan, kerana darjat manusia tidak setara dengan makhluk-makhluk lain, walaupun semuanya ciptaan Tuhan.
No comments:
Post a Comment