Pantulan 85/14: Menggilap gelita
Dalam menikmati sajak, bukan makna sahaja yang hendak dicari atau diingati. Sajak Azmi Yusoff, “Kepada Malam”, Dewan Sastera, Jun 1976, muka surat 24, tetap ada tarikan, walau kerana usianya, lebih menyerlah sebagai pencuit perasaan, mengembalikan senario zaman 1960-an dan 1970-an. Ini sajak sendu yang merdu dan kuakui belum usang mengharung perobahan. Hakikatnya, masih ada insan yang belum mendapat pembelaan. Catatan Azmi, tentang pengalaman hidup insan 38 tahun yang silam mengharukan. Sebagai rakaman tentang penderitaan, jalinan kata-kata berseninya tetap memadai melonglai para peneliti, menggamit simpati.
Kehidupan, alangkah berbagai-bagai kisah-kisah yang menyelimuti. Setiap orang ada pengalaman sendiri. Ada yang berpengalaman manis. Ada yang berpengalaman pahit. Pengalaman yang berbauran, pahit manis, masih boleh disyukuri, kerana sekurang-kurangnya, tidak sentiasa mendera sepanjang masa, sekurang-kurangnya ketika lena. “Aku” sangat mengharapkan “mimpi-mimpi”nya tiada lagi tanpa erti. Malam dirayunya agar membawa kebahagiaan bukan lagi penderitaan berterusan. Kalau ketika jaga berlainan sekali, biarlah dalam tidur imaginasi melimpahkan kehidupan berseri. Nanti terjaga semula, kuatlah semangat untuk berdepan lagi dengan kenyataan yang tiada surut menekan tanpa kesian. Kerana asal bernafas, masih ada malam untuk menagih khayalan.
ASKAT: Sekali-sekali, palitan sebegini memercupkan harapan, melupakan lara, menyimpulkan senyuman, menghiburkan kewalangan, Tak terputus hasrat semoga memuncakkan pembebasan. Walaupun sekejap, sekalipun sementara atau di luar realiti.
(Nota: Sajak ini termuat juga dalam “Dua Alam”, muka surat 14).
No comments:
Post a Comment