Pantulan 86/14: Ketentuan
Sajak pendek yang bererti tidak banyak ditulis. Orang lebih suka mencipta yang lebih panjang sedikit, kerana barangkali hendak merangkumkan mesej yang lebih menyeluruh. Tetapi kalau, kependekannya terpadat dengan persoalan yang bukan remeh, ciptaan itu sudah memadai. Sekali-sekala. Maka, kukira sajak Siti Zaleha M. Hashim, “Hari Esok”, Dewan Sastera, Oktober 1978, muka surat 26, wajar disinggahi sebentar. Sekadar menghirup rumusan segar. Kadang-kadang sajak yang pendek memikat kerana tidak sangat perlu berlama-lamaan berperah minda, demi mencungkil pemikiran yang diserlahkan. Dan begitulah yang mengalir. Hari yang mendatang tidak pernah pasti. Tetapi hakikat ini sewajarnya mendorong manusia untuk tidak bertindak sambil-lewa. Ia perlu merancang supaya ketidaktentuan menjadi lebih terurus. Berkeadaan siap-siaga. Sebab itulah kelaziman, mengasuh kita berpendirian bahawa yang telah berlaku akan berlaku lagi, menjadikan keresahan terketepi, sebab unsur kepastian yang menebal.
ASKAT: Semoga kita menjadi bijaksana. Tidak taksub, enggan berganjak dari tempat berpijak sedangkan perobahan atau peralihan dituntut demi kebaikan yang diharapkan. Masa depan seharusnya menjanjikan kemanisan lantaran asas pendirian adalah yang sentiasa baik-baik belaka.
No comments:
Post a Comment