Pantulan 87/14: Meniti pasti
Aku teruja hendak memetik, tetapi kusekat kuat-kuat, maka tak terbuat, walau sedikit. Biarlah, diraih mereka yang peka, kerana sebenarnya ratna ada merata – di permulaan sampai ke penyudahan. Karya M Jusoff Taib, “Bila Tiba ke Penghujungnya”, Dewan Sastera, April 1994, muka surat 46, sudah kujumpa, menghening kehidupan di dunia, khusus tentang insan dalam pengembaraan. Kufahami, lagi mendalami, tentang hakikat kehidupan. Ia terhenti pada detik yang ditentukan. Bertuahlah kalau kebenaran ini tidak terlupa atau dialpakan, walau sekalipun dalam melayari ke pelabuhan sasaran. Kebijaksanaan sentiasa menasihati, bahawa tiada pun berfaedah mengabaikan suratan. Dan paling kurang, jika terhindar, kembali ke titik asal yang belum tercalar honaran. Tumpui lagi mengikut yang termesti. Bekalkan diri setinggi bestari.
ASKAT: Sesiapa boleh bersajak. Tentang apa sahaja yang disukai. Tetapi kalau ia bersajak dengan maksud memanfaatkan orang lain, tentulah, berbanding seorang lain yang tidak sedemikian, sajaknya lebih wajar dihargai. Setidak-tidaknya, sajak itu mencungkil rasa ingin berfikir lebih mendalam tentang kehidupan dia sendiri pula. Tidak dilangkaui orang seakan tiada terkesan langsung. Pemintalan kata-kata, boleh mengikat minat. Kita terasa rugi meninggalkanya, tanpa berkali-kali menghayati. Biarlah, kesan yang ditinggalkan tidak diwarwarkan. Sekadar menggetar diri seharusnya memadai. Tetapi, lumatan hasil fikiran temanku ini, ternyata menuntut apresiasi lebih bermakna lagi.
No comments:
Post a Comment