Pantulan 88/14: Terkecewa
Hari ini terkedu dan tersendu di “Rumah yang Sakit”, karya Daeng Daengramliakil, salah satu daripada lima buah sajak beliau yang mengisi ruangan “Persada Puisi”, Dewan Sastera, Oktober 1994, muka surat 52-53. Betapa terharu qalbu dan terganggu ketenanganku mendepani pendedahan kisah gundah “anak-anak yatim” yang tidak seberapa terbela. Padahal , di situlah tempat khusus dibina untuk memupuk keceriaan dan menghentikan penderitaan. Mereka sengsara sebenarnya oleh layanan yang tersedia, yang tidak secantik gambaran. Orang diamanahkan pandai berwajah peka, sedangkan sambil lewa realiti biasa ketika mengendalikannya. Ke“pura-pura”an, pada bukan tempatnya, alangkah memarakkan amarah sekali gus simpati lagi mengganda. Rakaman peristiwa begini seharusnya membenihkan tindakan susulan agar tidak lagi berterusan.
ASKAT: Kalau difikir-fikirkan, bukan senang memperoleh jawatan. Persaingannya sengit . Dari dahulu sampai sekarang. Bersyukur sejatilah reaksi serasi, sekiranya terpilih memikul pertanggungjawaban. Ada harapan yang sepenuhnya terpindah kepada para petugas lantaran pemilihan (sewajarnya bertepatan). Sambil meraih nafkah untuk hidup berdikari, khidmat bakti yang dituntut tidaklah terlalu tinggi untuk diungguli. Dan harapan sebegini tidak berbeza, dimana-mana pun, apalagi “di situ”, tempat berbuat kebajikan tanpa perhentian. Semoga, semua yang terbabit tidak berkurangan asyik dan masing-masing semestinya saling mendukungi demi mencapai wawasan murni.
No comments:
Post a Comment