Pantulan 84/14: Kenit
Aku masih jauh dari melintasi Abad 20 meneliti koleksi. Namun, digera oleh keperluan mengemaskini pengetahuan tentang perkara-perkara khusus yang lain, terserempaklah puisi sahabatku, Mohd Sabri Ibrahim. Dengan nama ringkas, Sabri Ibrahim, beliau menukilkan “Alam Metafisis”, Dewan Sastera, Disember 2000, muka surat 41. Ternyata, sajak ini tidak serupa dengan banyak sajak lain. Temanya bukan kerap diusapi para penyajak, kerana alam baqa, lebih biasa dibawa dalam majalah-majalah bercorak keagamaan. Pun begitu, sajak ini tidak sebiasa yang tersiar di situ. Tetapi tidak janggal pula termuat menyerlahkan perbezaan berbanding karya-karya lain senaskhah dengannya. Aku nampak ungkapannya lembut tetapi meletus-letus, memercik-mercik dan menyuara-bicarakan kesungguhan. Tentang kebesaran Pencipta dan kehinaan ciptaan-Nya.
Kukira, dengan sengaja lagi menepati, diulang-ulangnya perkataan “sungguh” sebanyak tujuh kali. Dan ini bukan perbezaan antara satu “sungguh” dengan “sungguh”-“sungguh” yang lain. Setiap kali diluahkan, semakin nyata hasratnya, iaitu memaparkan kolam rasa kejujurannya, mengakui kekerdilan diri dalam alam buana yang begitu istimewa diciptakan Ilahi. Segala-gala itu adalah “anugerah” yang sepenuh jiwa diinsafi beliau. Benar-benar tak dipersesiakan, sebaliknya “bertafakur” menikmati limpahan rahmat dengan dengan didorong kesedaran tanggungjawab seorang hamba. Tak putus-putus dialirkannya denyutan kesyukuran. Dalam ketaatan ketawadhukan itu, “Kan kuteruskan perjalanan ini” selama tempoh yang ditentukan. Insya-Allah!
ASKAT: Ada usul mendakwahi diriku, walaupun penyajak hanya membatasi pengakuan ke-Maha Besar-an Tuhan tertuju kepadanya sahaja. Sebagai pembaca, aku menumpang tuah daripada sanjungan itu untuk mencari pahala dengan meneladani beliau. Merenong fakta tentang kewujudan alam semesta dan tuntutan agar bertaqwa. Kerap hal ini dilupakan oleh terkaburnya pandangan lantaran tarikan gemerlapan semua yang sementara dalam kehidupan dunia. Hidup ini sebenarnya mengharapkan keredhaan-Nya jua.
No comments:
Post a Comment