Pantulan 11/15: Muhasabah
Sebenarnya banyak tempat, peristiwa atau latar belakang yang boleh mencetuskan kita merenung kembali tentang muslihat pengalaman atau pertembungan yang terjadi itu. Hanya dalam kes Solihin Osman, melalui sajaknya, “Sintesis Kehidupan”, Al Islam, Ogos 1999, muka surat 50, beliau mengambil contoh yang begitu sering kita alami dari semasa ke semasa – berkunjung ke hospital atau melawat tanah perkuburan. Pengalaman yang bukan luar biasa ini nampaknya tidak dipersia-siakan. Dianjurkan kita tidak mengabaikan hikmah di sebaliknya, iaitu dengan bertafakur, bermuhasabah. Dan ini dipersembahkan dengan baik, mengusik, serta megharukan. Sebuah gubahan yang menarik.
ASKAT: Aku telah melalui proses ini baru-baru ini. Dan ini bukan yang pertama. Ia telah kesekian kalinya - ke hospital, ke kubur dan serentak dengan itu ketika bersendirian (bahkan dalam kerumunan manusia) tidak lupa memikirkan penghidupan yang sedang dilalui (tepatnya, dinikmati); betapa berharga untuk dihayati sungguh-sungguh. Apabila tergerak bermuhasabah, maka bersetujulah aku, bahawa sebenarnya, lebih ramai orang yang lebih susah, lebih teruji, lebih kurang bernasib baik berbanding aku sendiri. Malah di kalangan yang bernasib baik sekalipun, tetap masih tiada aku tercicir. Sungguh banyak kurniaan. Berlimpahan. Terkedepan mengungguli, atau tidak jauh di belakang. Bayangkan, sehari sahaja terganggu kesihatan, sedarlah aku amat rapuhnya jasmani diri, sekali gus sudah cukup mengajar bahawa kesementaraan adalah hakikat. Insan-insan bernyawa tiada pilihan selain pasrah kepada-Nya. Ada alam lain menanti.
Sedikit kulanjutkan. Pada usia kini, kerapilah masjid. Akan nampak siapakah para pengunjungnya yang tidak seberapa itu. Orang-orang yang dahulu berdarjat, berpangkat, tiadalah jauh lebihnya mengatasi kita. Dalam keuzuran yang tidak terselindung lagi, terbetik kesedaran bahkan pengukuhan, bahawa kita semua adalah sehala; menuju ke suatu arah yang sama. Kembali kepada Pencipta. Hanya bila?
No comments:
Post a Comment