Pantulan 16/15: Nostalgia
Sungguhpun bukan teks sejarah, kukira sajak Zurinah Hassan, “Dari Gunung Jerai ke Pekan Rabu”, Dewan Budaya, Julai 1993, muka surat 59, baik untuk menelusuri sejarah orang Melayu, yang hidup “di tengah keindahan, di tengah kepayahan”. Tetapi hakikatnya perubahan telah melainkan hampir segalanya. Pengalaman lampau tiada lagi diulangi kanak-kanak kini. Dan pemuda-pemudi juga, tidak serupa tuju, berbanding yang terdahulu. Pun, ada harapan dirakamkan. Biarlah peralihan jangan sampai menghilangkan sedikit sebanyak ‘perjuangan’ hatta berupa “Pekan Rabu”, yang tentunya bukan tugu keunggulan atau mercu pencapaian.
ASKAT: Aku sering memikirkan kalau tiada pembangunan sebahagia manakah kita sekarang? Walaupun ada para peneraju atau kuncu-kuncu, juga tuan-tuan guru menadah kitab-kitab kuning semenjak dahulu, datang penjajah, warisan jadi kelabu dan celaru, memerintah tak mampu. Terasing, terbelenggu, di bawah tuan baru. Winstedt memegang teraju dan semua menjadi guru di ulu-ulu, kerana di bandar-bandar, tempat tinggal sebenar cara hidup baru, jadi tempat tumbuh persediaan menghadapi dan menguasai dunia mutakhir, dianggapi kita jadi tempat musafir. Perbalahan sesama sendiri berterusan, kabur mencari pintu penyatuan, sampai muncul para pembaharu – Al Imam melawan para pemuka yang tetap berkubu dalam masyarakat keciciran ilmu. Pendeta menulis mencetus kesedaran dan hak warisan. Maka, kalaulah tidak akhirnya merdeka, terbayangkah kita “megah menghiasi negara kaya rakyat bahagia”, walaupun kita jauh sekali daripada berwibawa?
Begitu nikmat menjaluri ingatan. Terkadang tersendu mengenang keperitan oleh ketiadaan. Ada pula hikmah tersembunyi. Semuanya, rupa-rupanya membenihkan kesedaran, bahawa kehidupan ini untuk kita limpahkan dengan sumbangan, dalam ruang-ruang dan kesempatan terbentang.
No comments:
Post a Comment