Pantulan 17/15: Pengorbanan
Sajak Ahmad Sarju, “Munshi dan Budiman”, Dewan Budaya, Disember 1992, muka surat 59 adalah satu rakaman pengorbanan yang dicurahkan demi pemartabatan bangsa. Ia bukan suatu yang mudah, sebaliknya dibanjiri cabaran, kehonaran, perlekehan, hampir semuanya menderakan. Ia menuntut kesabaran dan dedikasi yang sebenar-benarnya demi kelangsungan ke garis penghabisan. Perjuangan murni ini tidak sedikitpun bertujuan untuk meraih keuntungan peribadi atau menyerlahkan kebesaran diri dan profesion. Kemantapan perjuangan tanpa mengharapkan anugerah, bermodalkan “lidah dan kata-kata” seharusnya dibanggakan kerana akhirnya tetap juga menyemai benih-benih malah bukti kejayaan sudah menyerlah, insya-Allah.
ASKAT: Dalam bidang apa pun berjuanglah. Masing-masing ada peranan dan setiap sumbangan akan melengkap dan menseimbangkan wawasan. Kalau kau pendidik generasi lakukan ke mercu kepakaranmu. Kalau kau penyajak, bijaksanakan khalayakmu. Kalau kau penggubal dasar wujudkanlah yang tepu mutu mampu mencetuskan dukungan, bahkan oleh seteru. Kalau kau pelaksana permudahkanlah sesegeranya tanpa menggendala. Pembentukan suatu bangsa berwibawa, yang telah tercalar maruahnya lantaran terjajah lama, memerlukan serba-serbi ramuan bermakna. Sejarah membuktikan bahawa matlamat perjuangan boleh dicapai dengan persediaan, penggemblengan tenaga dan minda, kegigihan tak tercula, yang tentunya termasuk pengorbanan dalam pelbagai aspeknya juga – diri, keluarga, profesion, puak dan bangsa. Generasi kini dan akan datang mengharapkan asuhan dan didikan, contoh teladan, integriti murni tanpa persoalan. Dalam kecelaruan sekitaran semasa dari pelbagai penjuru, pengabaian terhadap keperluan pembinaan perwatakan adalah suatu kejahilan dan lebih daripada merugikan. Ia adalah mala petaka yang seharusnya disedari sebelum kesannya benar-benar terjadi. Jangan sekali-kali dinafikan kerana penebusannya kelak teramat tinggi harganya. Pun, sudah teradat, jumlah pendukung yang kecil akan bertukar menjadi ramai apabila mereka percaya dengan kemuliaan cita-cita, ketokohan, kebolehcapaian dan kebaikan yang semuanya berumbi pada majoriti atau rakyat jelata. Tetapi, masa yang diperlukan bukan singkat. Ia berperingkat-peringkat. Sering juga tidak tercapai semasa hayat. Tetapi kalau asas yang kukuh telah dibina, ada pelapis yang cakna, silih berganti berbakti, mengambil tanggungjawab dan dipermantap sambil bergerak terus maka akhirnya akan tergarap. Begitu seakan termaktub.
(Nota: Tiada kudapati sajak ini termuat dalam empat kumpulan puisi Ahmad Sarju dalam milikku)
No comments:
Post a Comment