Pantulan 59/15: Mimpi dalam jaga
Sahabatku yang semakin gah, terjulang namanya di persada persuratan negara, M. Ashikin (Dato' Dr. Mohd Mansor Abdullah), merayu di“Berikan Aku Mimpi Indah”, Dewan Sastera, Februari 2007, muka surat 102, ketika pagi ini aku mencari-cari puisi murni untuk dipantuli. Tidaklah panjang keluhan dan jeritan dilaungkan tetapi sudah lebih daripada cukup untuk menggambarkan dilema kehidupan biasa seorang rakyat jelata. Harapan untuk senang-lenang tersentak oleh gambaran dalam kehidupan sehari-hari bak mimpi ngeri apabila “tarian sendu lagu sedih irama kecundang” adalah sepak terajang penghidupan yang malang tak berpenghujung (sebab ““mengharapkan mewah tak pasti menjelma”).
Hakikatnya, banyak yang kita impikan. Tentulah yang membahagiakan penghidupan. Namun, kita telah lama terkebelakang serba-serbi, pada setiap zaman, zaman beraja di mata bersultan di hati, zaman ditindas Feringgi sampai ke era globalisasi! Sepanjang masa “… lena tanpa tidur”. Dalam merdeka pun kita terlentur oleh dengkur.
Pengalamanku bermimpi tak sentiasa yang indah-indah. Maka adalah mustahil mengharapkan kebalikannya berlaku sepanjang malam-malam kita beradu. Dan ini bukan setahun dua. Ia telah berterusan sebaya usia. Mimpi yang bercampur-aduk, terkadang tidak ada kejelujuran peristiwa dan aneh, mengelirukan akal ketika jaga. Tetapi peristiwa-peristiwa mimpi ada pula hubungannya dengan peristiwa-peristiwa ketika jaga. Ia berbaur-bauran dalam logik sebuah alam mimpi yang pada ketika-ketikanya seakan alam nyata dan pada ketika-ketika yang lain jauh berbeza, bercempera, beralih rupa semena-mena. Kita membaca, menyaksi kisah-kisah, para penderita di alam nyata terus terlanda, terlonta. Hanya terhibur ketika terlena oleh mimpi indah (benarkah?) . Sebaik terjaga dihirup lagi derita sambil berharap terhibur semula apabila malam menjelma membungkus lena. Dan ini terakam dalam sejarah bangsa. Ia juga sedang berleluasa dan bakal tak terpusara.
Yang lebih baik ialah terus tidak berputus asa. Sedang usia remaja, dewasa atau tua, selagi ada cita-cita tiupkanlah ke sanubari murni dan minda bestari agar dengan usaha sendiri semua menjadi realiti. Dan banyak contoh boleh diberi tentang orang-orang yang akhirnya timbul unggul selepas menggelumangi penderitaan dalam sepi bersendirian.
No comments:
Post a Comment