Tuesday, 29 December 2015

Pantulan 51/15: Sajak Ami Masra, “Akar Keluarga”

Pantulan 51/15: Wajah kita
Kalau ditarah-tarah sejarah, tiadalah kita tersingkir mengetahui takdir terukir orang-orang kita yang jadi mutiara bangsa kerana tiada lupa akar mulanya. Aku sekata sekali dengan rakaman teman fbku yang sangat prolifik, Ami Masra tentang perjalanan tipikal anak-anak watan melalui sajaknya, “Akar Keluarga”, Dewan Budaya, November 2003, muka surat 2. Sungguh pandai beliau memfrasakan, “…kepayahan memungut/kepingan syiling daripada parah pohon getah”; “segalanya dari hutan kesukaran”; “torehan di kebun kepayahan”; dengan “selaut sabar”. Yang dilalui itu bertujuan akhirnya selesa “di rumah sentosa”. Sesiapa yang lebih setengah abad usia tidak dapat melukiskan kecuali sedemikian juga. Tahniahlah kerana sudi melakukan hasrat hampir semua orang seangkatan. Tuan telah melukis zaman.
Tokoh-tokoh yang ternama telah melalui semua peringkat perkembangan sepanjang perjalanan hayatnya – peristiwa-peristiwa suka duka bercampur mencorakkan keperibadian bakal menguntungkan insan. Kita yang hidup selesa sekarang sebenarnya telah mengenali lebih banyak kesukaran berbanding keselesaan. Oleh sebab itu, apabila orang bercerita tentang kemiskinan kita tidak pernah terpinga-pinga tentang persoalan hakiki yang menyelubunnginya. Kita sebenarnya bertuah kerana tidak selamanya susah. Bersyukur kita kerana mempunyai ketua keluarga bertanggungjawab; dalam keperihan tidak hilang upaya berusaha menggalakkan kita keluar dari belitan nasib malang yang mencengkam. Nilai-nilai murni disemai rapi kepada anak-anak generasi dan pentadbiran tidak pernah menafikan peluang kita berdikari, meningkat terbilang asalkan berprestasi tinggi. Semua yang kita nikmati, seharusnya menyedarkan kita sepanjang usia agar berbakti, berbakti dan berbakti. Walaupun kita sudah di tempat terpuji, masih ramai yang bergelumang untuk mengecap kesenangan setimpal dengan kegigihan usaha. Kalau semua yang di menara sepakat pula dan bersedia berkongsi medan rezeki, menggembling kepakaran, berjuang demi masa depan sejernih wawasan maka benar-benarlah kita rakyat jelata yang bahagia dan menyumbang bermakna, tidak serupa dengan mereka di tempat lain yang hanya menjaga kepentingan dan sudah berpaling sebaik bertakhta, memilih hidup terasing. Kita yang berjaya sebenarnya dipahat amanat oleh rakyat agar tak henti berkhidmat.

1 comment:

  1. Dr Aminudin Mansor @Ami Masra. Terima kasih atas ulasan yang mengesankan dan terbaik ini.

    ReplyDelete