Pantulan 28/15: Setia watan
Di kalangan rakan fbku, kukira Ahmad Sarjulah yang terawal mempuisikan kemerdekaan seperti terserlah melalui “Tanah Indah Pusaka Moyang”, Dewan Bahasa, Disember 1966. Kata beliau, “Tanah pusaka…” yang “terpanggang derita di tangan zaman” ini adalah “… yang tunggal”. Maka sangatlah bermakna dan tersanjung jika “…pada bumi ini rebahbangunmu”.
Aku teringat sangat, tahun-tahun 1960-an adalah zaman penuh pancaroba, dalam serbi-serbanya (termasuklah kekerdilan peribadi). Ancaman terhadap keselamatan negara sama ada di dalam mahupun dari luar negara amat nyata lagi terkritikal. Kalau di radio kita sentiasa dilaungkan dengan “Malaysia Berjaya”, “Barisan Kita”, “Bahtera Merdeka”, “Perwira” dan lain-lain, tidaklah pelik dalam sajak-sajak tema yang telah muncul semenjak terjajah lagi itu timbul lagi, sebahagian masih dengan nada tradisi era bahari. Bagi para pemuda-pemudi dan pelajar-pelajar sekolah gaya demikian itu lebih berkesan berbanding dengan kalimat-kalimat yang mengabui. Sekarang, kecamukan suasana dalam negara membangkitkan pula, antara lainnya, persoalan atau pertikaian tentang kesetiaan seseorang warga terhadap negara. Malangnya tidak ada suatu rumusan yang disepakati tentang kecintaan ini. Ada sekelompok menyatakan taat setia kepada negara itu adalah kerelaan mengamalkan unsur-unsur yang menjatidirikan negara seperti mendukung bahasa kebangsaan atau Rukunegara dan sebagainya, dalam semua hal dan keadaan. Sekelompok lain, cukup puas hati jika diberi kebebasan melakukan hasrat sendiri, walaupun tidak didukung majoriti. Yang jelas seakan tiada mungkin suatu kemuktamadan oleh kerana kebebasan yang dikatakan tersekat itu, sebenarnya bukan berhad. Semua orang terus menyuarakan pandangan bahkan tanpa fakta-fakta pun. Barangkali situasi tetap akan berterusan. Sampai akhir zaman.
Kembali ke puisi. Temanku Ahmad Sarju menegaskan bahawa kecintaan terhadap tanahair adalah “… hakikat cinta abadi” . Mahukah kita tafsirkan semula cinta negara itu, ertinya apa?
(Catatan: Sajak ini boleh dibaca dalam, “Himpunan Sajak Dari Majalah “Dewan Bahasa” September 1957-1967”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1969, muka surat 32-33; Ahmad Sarju, “Bunga Waktu”, Dewan Bahasa dan Pustaka, muka surat 17; Awang Had Salleh, “Di Penjuru Matamu”, Utusan Publications, 181, cetakan kesebelas, muka surat 44-45; (Ahmad Khamal Abdullah) Ahmad Kamal Abdullah & Ahmad Razali Haji Yusof, “Malaysia Dalam Puisi”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, cetakan kedua, muka surat 49. Sajak yang dipamerkan ini disalin daripada buku ini).
No comments:
Post a Comment