Pantulan 76/15: Janji YB
Seorang teman fbku yang baru, penyair Aladin Mohamad, Air Molek, Melaka, mengharapkan benar-benar YB beliau menunaikan janji setelah menang mengumpul lebih undi dalam peti pilihan raya. Seruan ini bukan baru tetapi lebih tiga dekad yang lampau, melalui sajak “Gaulilah Kami Semesra Rasulullah”, Dewan Masyarakat, Oktober 1982, muka surat 56. Betapa tingginya tuntutan itu tidak diragukan lagi apabila disebut “Rasulullah” pada judulnya. Barangkali, ramai YB tidak berani berikrar janji jika tersyarat begini!
Aku kurang pasti sama ada sikap YB sekitar 1970-80-an tidak berubah selepas 33 tahun kemudian, iaitu sekarang. Walau bagaimanapun, aku perhatikan di kalangan YB masa kini, ada juga yang kita boleh anggap sangat kanan, tetap mewakili kawasan Parlimen atau DUN, masing-masing untuk beberapa penggal. Tentulah mereka telah berkhidmat, menabur bakti dan dikira berjasa. Kalau tidak, tentulah mereka hanya tercatat sebagai bekas-bekas YB dan tidak dapat berprestasi sewajarnya, sama ada dari kaca mata para pengundi atau parti yang mencalonkan mereka.
Aku tidak mempunyai petua atau formula untuk menasihatkan YB-YB bagaimana hendak popular (dihormati?), mengikat hati pengundi kawasan, apalagi untuk kekal terpandang baik di mata ketua-ketua parti. Tetapi sebagai warga yang tidak ada memiliki kuasa atau pengaruh, kukira YBku mestilah seorang yang berwibawa. Ia harus berpendidikan, boleh ke tengah ke tepi, ke atas ke bawah, ada di mana-mana. Ia boleh merasakan hasrat rakyat yang tidak ada pihak lain untuk bergantung harapan. Paling utama, kalau di kawasannya ketinggalan dari segi infrastruktur, maka ia harus berjuang mengadakan; Kalau kawasannya mundur dari segi pencapaian pendidikan, dia tidak harus membiarkan sampai orang membangkitkan kekurangan itu. Kalau negara lebih mengutamakan isu pengantarabangsaan, pengglobalan, pencapaian terbaik dari segi pencakar langit, dewan persidangan bertaraf dunia, sedangkan di kawasannya banyak pengangguran, banyak perceraian, banyak perempitan, bertambah-tambah kes jenayah, taugih naik harga sampai luar kemunasabahan, sayur-sayur daun dari RM1.99 menjadi RM3.99 mengekal, buah tomato tak turun-turun harga, cili merah/padi menyombong sama, ikan kembong mulai tak mampu dijamah, jauh sekali tenggiri, maka YBku tidak boleh berhenti menampakkan beliau berjuang mengurangkan bebanku, beban rakyat jelata.
Sama ada dahulu atau sekarang, peranan dan tanggungjawab YB tidak jauh berbeza bahkan beliau lebih-lebih lagi diharapkan tidak memperlihatkan kepentingan diri mengatasi kepentingan yang diperlui para pengundi.
No comments:
Post a Comment