Pantulan 64/15: Pengakuan
M. Ashikin menyerlahkan keindahan pembenturan dan keluh-kesah realiti diri dengan yang dijangka dan sebenarnya dihadapi pada suatu waktu pasti mendatangi, lewat sajak, “Menyelam Mimpi Ngeri”, Dewan Sastera, April 2008, muka surat 96. Pada takah ujung hayat, bukan tidak lazim kita menjadi alim setelah sekian dasawarsa tercanda oleh keduniaan – kealpaan lantaran “kelupaan jati diri”, kelekaan yang hampir-hampir menyamarkan jalan pulang ke alam abadi. Begitulah sahabatku, karyawan berilham bertubi-tubi, Dato' Dr. Mohd Mansor Abdullah, menghirup lazat kehidupan duniawi sampai “lambat melewati daerah ini”, daerah para pentakwa, yang tiada lain selain dibumbui lautan amalan diredhai Ilahi. Yang dihajati kita malangnya bukan yang bakal menjelma atau terjadi kerana boleh saja diselubungi yang bertentangan, bukan yang diimpikan. Aku percaya, akan juga gagal “merumus tafsir”, merungkai hurai sinambungan peristiwa di jaluran perjalanan yang mematang, singkat berbaki sekarang. Sebab, sendiri mengetahui setakat manalah amalan kini yang mengikuti piawaian Ilahi.
Sudah acap disebut: Kita berniat, Tuhan berbuat kesudahannya. Secara positif, kita berusaha mematuhi Al-Quran dan Sunnah serta tafsiran para ulama. Kalau semenjak dari bayi dapat kita budayakan, terbawa-bawalah sampai dewasa dan alam persaraan. Kita menjadi penganut setia. Hala tuju kita tidak berpecah dua – mungkar dan takwa. Malangnya, sedang kita telah mengetahui sewajarnya pun, tetap tidak teruntun jiwa memilih jalan yang bermakna, jalan yang lurus, untuk kehidupan di dua alam – dunia dan akhirat. Kita terpedaya oleh harapan hidup duniawi yang gemerlapan, tersanjung serta berbintang, gagal memijak neraca menimbang untung rugi sementara berbanding yang kekal abadi. Mata dan hati tidak dapat memfokus yang mana lebih bagus. Akhirnya, yang terbentang dipandangan mata diberi keutamaan sedangkan yang direnungi minda dan hati, yang diseru-serukan Pesuruh Allah terketepi, tidak menyerlah mencukupi. Begitupun, sampai waktu, sedikit ilmu tetap mengingatkan diri agar kembali mengabdi kepada Pencipta dan apalah lagi anehnya kalau kejahilan telah mengekang tali tafsiran, menghadang mata maknaan dan kita sangat-sangat mengharapkan orang lain membantu dan memandu kita memahami dan bertateh ke pangkalan peralihan alam. Semoga kita lebih terdorong memahami.
No comments:
Post a Comment