Pantulan 50/15: Berundur?
Sebagai satu bahan mencetuskan renungan tak berkesudahan, karya penyajak gah Siti Zaleha M. Hashim, “Menyukat Kesilapan”, Dewan Budaya, Mei 2003, muka surat 2 kupilih mengisi ruang. Wajar sekali kita meneliti kebestariannya kerana terkesan bahawa, ketidakmuafakatan kefahaman tentang matlamat bernegara, boleh menggelincirkan pemanduan ke puncak merdeka. Apakan tidaknya? Kemakmuran hidup rakyat jelata bakal jauh terjunam membenam sekiranya para pengendali teraju bukan lagi di kalangan kita sendiri, terpindah tangan akibat persengketaan, diolang-oleng keremehtemehan persoalan.
Memang! Aku kira perlu kajian dilakukan untuk mengenali kelemahan diri sendiri. Hasilnya tentulah diketahui bahawa ketinggalan kita adalah kerana kita tidak mampu bersaing dalam satu medan yang terbuka. Kalau dibaca kepustakaan sebelum merdeka, merata-rata kisah luka bangsa terakam sebati lagi ngeri. Kita jadi lebih sedar kedudukan apabila menoleh ke kiri kanan, belakang hadapan bahawa pada suatu zaman, kita sangat koman, hanyut dalam arus gelombang kejahilan. Hanya segelintir kita separuh sedar keadaan, iaitu kita tidak langsung dipedulikan. Yang lebih ramai, kita dilenakan menjalani kehidupan aman damai di kampung halaman. Kemudian, kesempatan mentadbir sendiri mengilhamkan pendekatan mengatasi kehinaan, agar tidak terus terabdi. Maka kita pun berderu-deru berpengajian tinggi dan dijamin pula tidak ketinggalan lagi menyaingi. Semua aspek telah diterokai semoga kekuasaan yang dipegang mengembalikan martabat yang hilang berzaman-zaman. Setengah abad rupanya tidak berhasil menebus kelenaan. Setelah mencapai sedikit kejayaan, kini sudah kita lihat pengunduran yang lebih banyak berbanding kemaraan. Sedangkan masa berubah dan perulangan yang sudah-sudah tidak sentiasa boleh dibawa ke tengah tanpa bertelagah.
Pengalaman menunjukkan kita mampu berjaya. Dalam tempoh yang terakam cantik kita sudah berjaya dalam sebahagian walaupun masih terus gagal dalam sebahagian lainnya. Namun sekiranya, yang sudah memberi ganjaran lumayan tidak mampu dipertahankan tentulah yang belum digarap tangan mustahil pula akan menerbitkan ganjaran berlimpahan.
(Nota: Sajak ini termuat juga dalam Siti Zaleha M. Hashim, “Kristal di Laut Bulan”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006, muka surat 105-106).
No comments:
Post a Comment