Pantulan 53/15: Kemungkaran
Walaupun telah kerap didedahkan sepanjang pengembaraanku, seumpamanya bukan cerita luar biasa lagi, aku berdukacita masih apabila medepaninya. Terkesan dari rantaian ungkapan, seorang nakhoda berlakon mulia apabila di tampuk kuasa mengendali bahtera. Yang tergambar, ketidakjujuran dalam tindakan, pengkhianatan demi mengekalkan kedudukan yang sudah tergenggam melalui lorong-lorong haram. Kian berkuasa kian parah natijahnya. Begitulah “tesis” teman fbku, Solihin Osman melalui sajak beliau, “Tak Mungkin Selesai”, Dewan Sastera, Oktober 2006, muka surat 81. Yang sangat kukesali, hakikat azali bahawa kuasa adalah amanah, bagaimana pula seorang “ketuaku” ketika menjawat pertanggungjawaban, “… lupa segala/sanggup menjaja nilai”. Mungkarkan-Nya! Dan episod ini bukan sekarang sahaja. Dahulu, bahkan selagi manusia bernyawa di dunia. Ia berfenomena bagai cendawan, jauh dari sirna.
Asam garam hidup mendewasakan pemikiran. Kita boleh mentafsir tindakan seseorang berdasarkan tutur kata dan perlakuan sebenar. Orang yang licik boleh menyembunyikan dan berleluasa merajalela. Tetapi kalau keperibadian terpuji yang menjadi prinsip hidup diri, persengkokolan wajar dielakkan. Persubahatan pasti mencalitkan warna hitam dan menggelumangkan reputasi tanpa perbezaan lagi. Kita dan dia adalah sama sahaja. Dua x lima. Bahayanya bukan bertaraf mainan kerana mula-mula tanggapan timbul di minda khalayak lantas bertukar menjadi momokan yang mencemarkan maruah. Kukira seseorang perlu murni serba-serbi untuk menjadi contoh teladan ahli-ahli masyarakat. (Mungkinkah terjadi kalau di puncak diberi mandat, sahabat dan seteru bergelewat menggawat?). Kalau pun kita tidak berani menegur, menjauhinya sudah suatu isyarat tidak sekata, jauh dari merestui. Sekali-kali jangan pesimis. Kita ada kebebasan untuk memilih. Sebelahilah kebenaran sambil mengorak wawasan
No comments:
Post a Comment