Tuesday, 29 December 2015

Pantulan 30/15: Sajak Solihin Osman “Persada Puisi”

Pantulan 30/15: Kesyukuran
Karyawan Dewan Sastera, Ogos 2000 ialah teman fbku yang sedang melimpahkan ilham ke “Persada Puisi” negara, Solihin Osman. Beliau diberi penghormatan dengan pemuatan empat buah sajak, semuanya bertemakan cinta negara. Aku menyukai “Keranamu”, muka surat 3, bukan kerana romantis judulnya, tetapi kerana kejujuran patah-patah tuturnya, yang sekali gus menyerlahkan kesyukuran, hati murni dalam dirinya. Kalau lazimnya, orang meminta-minta, penyair ini mengakui kenikmatan hidup di tanahair, tempat “… memungut rezeki yang/tumbuh/dan menuai musim yang berwarna”. Sungguh, suatu pernyataan yang menggembirakan dalam kecamukan dan prasangka yang berleluasa tak keruan sekarang.
Banyak perspektif menghargai sesuatu yang membuka kesempatan penghidupan di kalangan insan. Sebagai warga yang taat setia, kita mahukan peluang yang sentiasa terbuka dan sesiapa pun boleh memilikinya dengan usaha yang gigih dan merit yang tersanjung. Kalau pun dalam merentas lembah, mendaki takah-takah cabaran, perlu bergelumang lumpur, meredah akar yang besar, curam yang dalam, serta memerah minda, itu tidak sekali-kali merobah pendirian bahawa di sini perjuangan adalah asam garam kejayaan. Asal sahaja tidak mudah kecewa maka lambat laun kebahagiaan yang menanti boleh menjadi hak peribadi. Jarang reputasi, kemewahan atau maknawi kewujudan dikecapi tanpa merempuh onak melanggar duri realiti kehidupan manusiawi yang multi-dimensi. Amat besar kebaikannya berprinsip positif dan berpekerti terpuji. Hindarilah kebalikannya yang terkeji.

No comments:

Post a Comment