Pantulan 72/15: 14 hanya
Kalau kita rajin meneliti puisi-puisi tradisional ciptaan penyair tak letih berkarya,Ahmad Sarju, kebelakangan ini, seperti yang hampir saban hari tercetak di laman fb beliau kita akan tahu bahawa yang diluahkan beliau dalam kebanyakan puisi-puisi itu telah sebenarnya terangkum dalam sajak “Hanya Kerana”, Dewan Masyarakat, September 2005, muka surat 66. Akurlah kita, akan huru-hara organisasi dengan ada ‘hanya-hanya’, walaupun satu dua. Akan selamat pula organisasi, sekiranya tiada langsung ‘hanya-hanya’ tersebut atau jika pun ada, dikendalikan mengikut cara paling bijaksana bagi menyelesaikannya.
Aku merumuskan, bahawa kekuasaanlah menimbulkan kemaharajalelaan bertindak sehingga menggugat, mencantas, menghina, menzalimi, memusnah, dan pelbagai lagi bentuk salah laku dan penyalahgunaan kuasa. Perlakuan demikian sebenarnya jauh daripada pendekatan menyelesaikan masalah yang lazimnya disyorkan bagi mewujudkan ketenteraman, kemakmuran, perpaduan, keadilan, dan pelbagai lagi kebaikan dalam menjalani kehidupan di mana-mana, dalam organisasi, masyarakat, atau di dunia. Tetapi kita pun tidak pasti sama ada penguasa atau orang berkuasa yang mengetahui ketidakbaikan bertindak sembrono, gopoh-gapah, jahil, tak beradab, akan terdorong bertindak mengikut secara yang ideal atau cara yang beretika. Sebab, rasional setiap tindakan mereka ialah untuk mengekang perkembangan gejala yang tidak diingini mereka. Tanpa berbuat begitu, bagaimana mereka boleh mempertahankan status quo? Tetapi harus pula kita menyedari orang-orang berkuasa tidak akan berleluasa jikalau mereka tidak didukung oleh penyokong-penyokong. Mujurlah semua ‘hanya’ tidak semestinya dilakukan oleh orang atau oleh pihak yang sama. Sebab, tidak mungkin ada organisasi boleh berdiri dengan tiada sedikitpun tolak ansur, bertimbang rasa, prihatin, berperikemanusiaan, Sedemikian terpakai juga dalam bernegara. Kejadian salah laku, bertindak tanpa batasan ada di mana-mana, dilakukan oleh sesiapa atau pihak-pihak tertentu. Sekiranya ahli atau warga yang teraniaya itu bertindak berani menghadapi, bersandarkan kebenaran maka pastilah peristiwa-peristiwa boleh dikekang bahkan boleh dikawal daripada berterusan. Pendukung-pendukung atau penyokong-penyokong pun tentu berubah arah. Memanglah ada baiknya kedua pihak yang bertelagah, bersengketa, berselisih, tidak sefahaman, berjumpa menyelesaikan secara yang menang-menang. Tetapi cara begini lebih tidak pernah menyata, sebab dari segi realitinya, kekuasaan mengabui pandangan dan, daripada orang lain mengambil alih, baiklah sendiri kekal di tampuk kekuasaan. Demikian itu berlaku zaman berzaman!
Semoga wujud kewarasan dalam mengendalikan permasalahan. Yang hendak dituju ialah kesempurnaan, setakat yang boleh dicapai oleh manusia, dengan perkenan Tuhan.
No comments:
Post a Comment