Pantulan 63/15: Asalkan bererti
Sungguh lembut sentuhan menganalisis kehidupan dalam kepadatan bermasyarakat pada zaman sekarang di Bandaraya Bercahaya... Bacalah sajak karyawan Norhisham Mustafa, “Sangkar”, Dewan Sastera, Mac 2008, muka surat 103. Walaupun beburung tetap berterbangan, tetapi berlainan pula para insan. Mereka terlara oleh suasana. Mereka terikat oleh ruang sendat di angkasa. Mereka terhalang bergerak mencetuskan semarak kemanusiaan tanpa serambi pergaulan . Kata sahabat kita, “Manusia terpaku” – yang kusuka bicarakan, tidak memanusiakan kemanusiaan hingga ke paling kemungkinannya.
Keluasan, kelegaan tempat tinggal tidak menjamin kebernasan akal atau minda, dan keselesaan, ketenangan jasmaniah. Sudah banyak contoh di hadapan mata, orang berada dan kelihatan senang lenang, tidak tenteram menjalani kehidupan seharian, berpanjangan. Ada berlaku perceraian, anak-anak tidak terasuh, lalu tentunya tidaklah akan berjasa kepada negara. Ada pula yang kelihatan daif, bertungkus-lumus mencari nafkah halal hampir tak henti-hentinya. Rumahtangga mereka bahagia, putera-puteri berpendidikan tinggi, dan mereka semua berbakti seantero bumi. Maka, yang mana kita kehendaki? Barangkali kita tidak termasuk dalam kedua-dua kategori. Sama ada kita di kota ataupun di desa. Pun, kita sudah ada puri, isteri atau suami, anak-anak bijak bestari, seisi keluarga berlimpahan rezeki. Kita boleh capai apa sahaja terlintas di hati – memahat puisi, menghadiri acara di sana di sini, dikenali dan dihormati. Dalam keselesaan anugerah Tuhan ini betapa bersyukur lagi kalau kita dapat meninggalkan kesan-kesan yang bererti, kalau pun tidak kepada negara atau negeri, kepada sesama kaum keluarga, sahabat jiran, dan semua yang secara langsung atau tidak langsung menyumbang kepada situasi dan pencapaian peribadi. Sangatlah dituntut kita membalas ‘budi’.
(Sajak ini termuat juga dalam kumpulan puisi, Norhisham Mustafa, “Remuk Hati Bangsa”, ITBM/Pena, 2013, muka surat 37-38).
No comments:
Post a Comment