Tuesday, 29 December 2015

Pantulan 38/15: Sajak Zurinah Hassan “Pak Kaduk di Gelanggang Raja”

Pantulan 38/15: Biring berkokok
Aku kurang pasti cerita-cerita seperti Pak Kaduk direka untuk maksud apa sebenarnya. Barangkali lebih bertujuan menceriakan keadaan berbanding memberi pengajaran atau mencorakkan zaman. Dalam dunia masa kecilku, ada kudengar orang-orang kampung mengatakan seseorang yang dikira bodoh tolol, seperti Pak Pandir. Ada juga sebutan tentang Mat Jenin yang timbul apabila ada seseorang membayangkan hasrat masa depan yang tidak masuk akal boleh tercapai. Jadi, pemahaman yang disepakati rakyat jelata di sebalik kisah-kisah berkenaan ialah pengakuan bahawa watak-watak itu sebagai misalan kebenaran menggambarkan kedunguan/keangkuhan dan kemustahilan. Maknanya, perlakuan yang serupa atau seakan yang demikian seharusnya diasosiasikan dalam kehidupan seharian bukan sama sekali yang berbeza tingkah dan sifat pelaku dan situasinya.
Mungkin ratusan tahun pengaplikasian demikian telah kejap tertanam. Sekarang, apabila kita belajar di institusi-institusi pengajian lebih tinggi cerita-cerita hiburan itu jadi kajian sampai ke tahap kedoktoran. Dan timbullah pentafsiran yang jauh sekali daripada maksud asal penciptanya. Perubahan ini bukan pula tidak dihargai. Ia banyak ertinya. Orang-orang sekarang mencari teladan, mentafsir kelainan, memperbaharui atau mengadakan varian selaras dengan zaman. Lalu, kebodohsombongan Pak Kaduk tak lapuk dihakis bahkan merintis ilham puitis berbaris-baris. Citra baru terlukis.
Maka, apabila penyajak berwibawa Dato' Dr. Zurinah Hassan melorek riwayat Biring Si Kunani melalui “Pak Kaduk di Gelanggang Raja”, Dewan Sastera, Disember 2003, muka surat 79 (termuat juga dalam, “Salasilah”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005, cetakan pertama, muka surat 84) kita alu-alukan. Terpupuk kesedaran di kalangan marhaen bahawa dalam berunding ada keperluan untuk setanding. Tidak boleh sebelah pihak punyai kekurangan kerana akibatnya yang memiliki kelebihan pasti menjuarai. Juga, jangan wujudkan persefahaman kalau berakhir dengan situasi kecundang menang.
Aku juga membaca, Zurinah Hassan, “Membina Karya Daripada Legenda Dan Cerita Rakyat”, dalam “Catatan Perjalanan Seni Zurinah Hassan”, ITBM/Pena, 2013, muka surat 28, Kata beliau, “… Di sekeliling kita masih ramai Pak Kaduk yang menggadai tanah dan rakyat yang diambil tanah mereka. …”

No comments:

Post a Comment