Tuesday, 29 December 2015

Pantulan 52/15: Sajak Ahmad Sarju, “Yang Tersembunyi”

Pantulan 52/15: Khalifah
Sajak-sajak yang baik sebenarnya berperatusan rendah walaupun, banyak kumpulan atau antologi, dan yang bereceran di merata-rata. Kukira sesebuah sajak itu baik jika sepatah kata terluah menerbitkan tafsiran yang positif, lalu berkembang-kembangan seakan tidak akan berkesudahan menggamit pantulan. Maka apabila temanku Ahmad Sarju menyamarkan makna lewat sajak beliau, “Yang Tersembunyi”, Dewan Sastera, Januari 2006, muka surat 50, aku terpanggil untuk menyelak-nyelak setakat yang mampu supaya terbentang berhamparan apa yang tersirat. Perhatikan, hanya dengan lima pertanyaan, “Di manakah kau temui”, Di manakah kau teruji”, “Di manakah jarum makna”, “Di manakah anehnya”, dan “Di manakah benarnya” kukira lebih daripada mencukupi untuk mencabar kita membongkar rahasia-rahasia yang menyelinapi kehidupan manusia dalam pelbagai situasi. Ambillah “benar dari palsu”, bolehkah kita berikrar menjunjungnya, sekiranya diri sendiri atau kaum kerabat tergugat darjat sampai dicemuh masyarakat? Atau, “setia dari derhaka”, relakah berterusan bersekongkolan, kalau penindasan atau ketidakadilan jadi kebiasaan? Persoalan yang beraneka ini boleh terus diungkapkan sekiranya setiap baris diteliti bersungguh-sungguh hati.
Pada hakikatnya, yang diajar dari kecil sehingga dewasa ialah untuk kita membangunkan diri agar berpekerti mulia. Orang begini, sewajarnya berpendidikan, bermaruah, bijaksana, adil, amanah, bertoleransi, dan sederetan sifat-sifat terpuji yang lain. Maka apabila timbul “kekejaman”, “penindasan”, “kemelut”, “pembunuhan”, dan “sengketa”, tentulah terdapat dalam masyarakat atau negara itu kelemahan yang menjolok, terabai dari tindakan tangan-tangan yang berkewibawaan . Tiada akan makmur negara, atau bahagia rakyat jelata dalam kecamukan yang menghalang perpaduan sejati. Kalau timbul “amarah” dari satu kumpulan maka hendaklah disiasat punca-puncanya. Barulah dapat diperkenalkan strategi mereda atau mendinginkan bahangnya. Kalau “benarnya” terbukti, barulah desas-desus yang menimbulkan persepsi negatif dapat dibendung lantas menjernihkan suasana. Pendek kata, di sebalik rahasia ada kunci memercikkan makna, asal sahaja ada permuafakatan, keberanian dan kegigihan demi menyelesaikannya. Yang dikehendaki ialah kebalikan daripada serba aneka unsur yang tidak disanjung lagi memusnahkan. Kita mengharapkan keadilan, persepakatan, kedamaian dan ... Dengan aspek-aspek ini terkendali rapi bolehlah kita bersama-sama membina kemanusiaan murni ke seluruh pelusuk watan. Tiada pilihan, kecuali setiap dari kita yang bertanggungjawab menyedari bahawa sebagai khalifah kita tidak terlepas daripada mendepani pengadilan yang sempurna dan muktamad. Lambat launnya.

No comments:

Post a Comment