Pantulan 43/15: Labbaik allahumma labbaik, …
Berbetulan ketibaan Jemaah Haji di Tanah Haram, melintasi serasi puisi teman fbku Ahmad Sarju, yang merakamkan getaran rasa semasa di “Makkatul Mukarramah”, Dewan Sastera, September 2004, muka surat 80. Ini satu catatan kenangan yang bererti, memperihalkan pengalaman mencari keredhaan Pencipta alam ini. Sungguh terkesan perjalanan itu ke atas beliau. Kaabah, “menusuk keinsafan, membenam keangkuhan”. Demikian tidaklah menghairankan kerana beliau “dalam iktikaf dan sujud sepanjang hari”… , “…berpasrah…”, “… dengan doa kudus” .
Termaktub sudah bahawa pada bulan Zulhijjah, di Mekah selautan insan terpilih menunaikan Rukun Islam kelima. Lebih sempurnalah insan itu sebagai hamba berbanding yang belum menyambut seruan-Nya.
Maka, dengan persediaan secukup-cukupnya dari semua segi sebelum pergi, mudah-mudahan di sana tidaklah kita dilekakan syaitan durjana sehingga tergamak kita melepaskan kesempatan, seronok membuang masa dengan bersukaria dan mengalpakan matlamat utama. Sewajarnya kita sentiasa sedar peluang berihram boleh jadi hanya sekali. Sedemikian bakal tidak berulang lagi. Pada tempoh yang amat singkat, amalan yang dilakukan biarlah benar-benar memberkati. Dengan begitu, kalau kita kurang suci, selepas ibadat itu, insya-Allah, jadi bak kain putih, tanpa warna-warni; kalau kita sememangnya bertakwa, apabila pulang semula di persada nusa, kian teguhlah iman di dada, lagi semarak mencintai Allah S.W.T. Di sana – di Madinatul Munawwarrah atau di Makkatul Mukarramah – kita adalah tetamu Yang Maha Pemurah. Hilangkan kesombongan reputasi diri dan pohonkanlah agar direstui , apa pun hasrat tersirat di qalbu – semoga diampunkan segala dosa, ditingkatkan tangga usia, ditinggikan timbunan rezeki, diramaikan zuriat misali, demi berbakti kepada khalayak manusia.
Apabila kembali ke tanah air sendiri sudah menjadi adat para kenalan dan masyarakat memanggil-hormati, “Tuan Haji” atau “Puan Hajah”. Bukan tanpa tanggungjawab dibahasai demikian. Tetapi seperti juga zaman dahulu, tanggungjawab bergelar tetap menuntut kewibawaan mendukunginya. Seharusnya kita mampu. Barulah, kita tidak lagi walang gundah tiba waktu berpulang ke rahmatullah.
No comments:
Post a Comment