Wednesday, 30 December 2015

Pantulan 55/15: Sajak Nawawee Mohammad, “Setelah Menggurui Pengalaman”

Pantulan 55/15: Guru
Hari ini menguli Dewan Sastera, Disember 2006 lalu melintasi “Karyawan Bulan Ini” Nawawee Mohammad sebagai penyair yang dihargai. Kukira naskhah ini sangat istimewa kerana dalam rencana yang ditulis beliau sendiri, “Sebuah Catatan Silam Seorang Orang”, muka surat 22-29, ada beberapa sajak (atau sebahagiannya) dimasukkan sama. Darma Muhammad yang membicarakan kepuisian temanku ini melalui “Dunia Penyair dan Kepenyairan Nawawee Mohammad”, muka surat 30-33 juga mengambil beberapa sajak untuk menyokong analisis. Dalam ruangan “Puisi Pilihan” sebanyak 16 sajak Wee yang lain dimuatkan, semuanya sengaja menggunakan “Setelah” menjadi pendahulu judul-judulnya. Aku menyelongkar sebentar di semua lembar untuk mencari gambar yang diuar-uar dan terlingkar dan teruja akhirnya untuk memilih sajak “Setelah Menggurui Pengalaman” untuk bahan pantulan.
Temanku sangat-sangat menyanjungi pengalaman dengan “menggurui”nya. Akan “sia-sia/pengalaman lalu sekalipun peribadi,/dibiar dan tidak dipedulikan.” Tiada tersangkalkan betapa benar kata-kata beliau, bahawa pengalaman “… mematang pertimbangan/menjariah hayat abadi seseorang.” Orang yang buta akal, dan kelu kalbu sahaja yang tidak akan bersetuju. Dan kita semua bukan berfikiran celaru.
Alangkah baiknya kalau pengalaman dikendalikan dengan secara yang paling memanfaatkan, diri atau masyarakat. Pengalaman adalah ubat yang berfirasat. Ia adalah kompas penumpas waswas. Pengalaman yang dirakamkan dengan lengkap menjadi bahan dan sumber hikmat. Ingatan tidak cukup untuk mengembalikan episod yang telah berlaku satu persatu kerana setiap detik aneka pengalaman berputik, menguntum dan berbau harum semerbak, hanyir atau hapak. Tanpa penditilan segera sebahagian pengalaman menjadi samar-samar dan cula malah terpusara kerana manusia adalah insan pelupa. Pengalaman menggesa renungan dan analisis. Baharulah tertapis yang bernas dan terketepi yang antah atau sekam. Tetapi, sama ada bermutiara atau berkaca, pengalaman tetap berguna merobah suasana dan citra. Ia ada makna, melorongkan ke arah pilihan menuju hidup sejahtera bagi yang bijaksana atau hidup biasa sekadar hama bagi yang tak cakna. Maka pengalaman menuntut minda kritikal agar langkahan ke hadapan tidak tersandung akar cabaran yang bersiratan di belukar atau belantara penghidupan berencaman lagi berceracakan. Panjang usia belum tentu bererti dan berwibawa kalau pengalaman tidak jadi asam garam membaur dan mengenakkan kewujudan sebagai insan selaras dengan kehendak-Nya.

No comments:

Post a Comment