Pantulan 48/15: Kewaswasan
Ketika umur negara mencapai 49 tahun (2006) Azmi Yusoff, melihat citra kemerdekaan negara masih “teduh”, jauh dari mantap, serba-serbinya. Walaupun “lidah”, “ikrar”, “jati diri” dan kibaran bendera watan kian meningkat, tetapi kalau disukat, masihlah ada kekurangan menjolok – kemerdekaan tidak difahami maknanya, hala tujunya tak menentu, kesetiaan para warga tak menyerlah bahkan dipersoalkan. Benar-benar sangat dikesalkan. Jelas tidak memberansangkan. Nyata jauh dari matlamat. Tersasar dari wawasan. Demikian yang saya tafsirkan hasil mengupasi puisi. Kuanjurkan teman-teman membaca sajak beliau, “Mengeja Aksara Merdeka”, dalam kumpulan sajak “ABRAR”, Persatuan Penulis Kelantan, 2011, cetakan pertama, muka surat 79. Barangkali, timbul simpati dan mahu menggambarkan sendiri situasi yang terkini yakni hakikat atau yang sejati.
Yang kita sedar sekarang, adalah benar negara sudah 58 tahun terisytihar merdeka. Kegusaran Azmi tiada ternampak dalam puisi-puisi lain beliau yang terkini, namun di pentas realiti, sumber menggali inti atau erti berdikari belum berubah lagi. Aku bimbang kalau disajakkan sebuah ciptaan yang baru, diubahi beliau kata-kata secara yang memadai tanpa memberi impak yang lebih menguja kerana mahu tidak mahu dia harus meneliti suasana semasa. Tiada apapun beza sebenarnya. Sedangkan pengiktirafan mengenai penambahbaikan atau kemajuan, menuntut peningkatan berbanding yang sebelumnya. Demikianlah kita mengharapkan kalau kebertanggungjawaban itu terserah kepada para pemuka yang bijaksana. Yang kita tahu, orang-orang yang bijaksana, sentiasa menambahbaikkan serentak melangkah ke hadapan apalagi kalau usia yang menjadi kriteria kematangan, yakni pengalaman yang lampau dijadikan teladan untuk tidak mengulangi kegagalan atau prestasi yang alang kepalang. Ada sebab kita harus merenungkan isu ini bersungguh-sungguh. Kita sudah lebih sedekad dalam abad baru. Kita sudah lebih setengah abad memegang teraju. Kita sudah bergilir-ganti penghulu. Kita sudah banyak Rancangan Malaysia, berpenggal-penggal, berbuku-buku. Kita sudah lahir pada Hari Merdeka, sudahpun bersara, sudah ada ramai cucu. Selepas 58 tahun Merdeka kita sewajarnya satu.
No comments:
Post a Comment