Tuesday, 29 December 2015

Pantulan 33/15: Sajak Zaiton Ajamain "Tentang yang Besar, yang Tinggi, yang XXL”

Pantulan 33/15: Kehonaran
Melalui puisi khas, “Tentang yang Besar, yang Tinggi, yang XXL”, Dewan Sastera, Jun 2002, muka surat 81, teman fbku yang santun, [Hajah Zaiton Haji Ajamain] Zaiton Ajamain menukilkan ketajaman penganalisisan beliau. Tepat sekali, dipilihnya sifat-sifat manusia yang semenjak azali memecah-belah dan memusnahkan persaudaraan iaitu “taksub” dan “angkuh”. Beliau membayangkan natijah “ketaasuban” dan “keangkuhan” dalam rupa “seribu satu kegawatan”. Diakui beliau terbina sudah tugu-tugu di mercu alam, yang besar-besar, tinggi-tinggi, hebat-hebat. Namun, lantaran berleluasanya kemaharajalelaan, seringnya yang berskala mega, ia telah mencacatkan makna semua pencapaian yang baik-baik yang selama ini dibangga-banggakan. Tentulah tanpa kehonaran demikian manusia akan melangkah ke hadapan dalam keredhaan dan kemanfaatan berterusan.
Tetapi beginilah kehidupan di dunia. Dari Adam sehingga kita. Padahal, pembacaan lembaran-lembaran sejarah seharusnya membijaksanakan dan dengan itu tiadalah penemuan-penemuan yang memartabatkan tamadun manusia tercalar lagi oleh tindakan-tindakan berpaksikan kejahilan. Anehnya, dalam pada ia dan mereka berpengetahuan bestari serba-serbi, manusia tetap hilang ingatan, buta pandangan, tumpul minda. Hakikatnya, ia dan mereka dicumbui bahkan dibumbui nafsu peribadi. Maka ia dan mereka membelakangi rezeki dan penghormatan. Ia dan mereka tercabul. Dan tercemarlah reputasi 'ia' dan mereka di kubur.

No comments:

Post a Comment