Pantulan 66/15: Kebijaksanaan
Sebuah sajak yang sedikit menyelimuti erti menjelangiku, hasil perah fikir karyawan senegeri, Nawawee Mohammad, berjudul “Gelisah”, Dewan Sastera, Januari 2001, muka surat 76. Cantuman “bangau” dengan “kerbau”/“bendang” menjentik ingatan ketika menuntut di bangku persekolahan. Kegelisahan yang menghantui menimbulkan keresahan dan kekeliruan lalu mewaswasi. Kalau perumpamaan yang dipelajari di sekolah dahulu, “Setinggi-tinggi terbang bangau akhirnya di belakang kerbau juga” dijadikan landasan mengorek ertinya, maka yang mendatangi minda ialah kegagalan berterusan berada pada tempat yang tinggi lantaran tempat asal lebih mempengaruhi sehingga ia harus kembali seperti sedia kala, memandu pemahaman. Tetapi, yang kukira timbul sebagai teladan, janganlah sekali-kali melupakan keperibadian yang sedia teruji dan terpuji bertradisi/generasi hanya terpedaya oleh kerlipan yang sementara dan tidak tulen. Tetapkanlah berjati diri.
Aku pula lebih ingin melihat seseorang manusia yang tidak melupakan akarnya sesudah dapat menikmati segala-gala yang terbaik boleh dicapai melalui pendidikan, pengalaman dan kesempatan yang adil terbuka pada zamannya. Maka, dengan begitu, seseorang haruslah menyesuaikan perlakuan diri mengikut kewajaran dan tuntutan sekitaran, demi menduduki ‘kerusi’nya. Ini tidak pula menggalakkan seseorang merebut pendekatan negatif yang mencemarkan maruah peribadi, budaya dan kemanusiaan. Kehidupan yang kita harungi mestilah berlandaskan ‘kesopanan dan kesusilaan’. Seseorang harus mampu ke tengah dan ke tepi dalam masyarakat, organisasi, sambil memikul tanggungjawab dan pertanggungjawaban. Ketakupayaan mengendalikan diri dalam kancah dan cabaran yang dihadapi seharusnya bukanlah perkara yang perlu dibesar-besarkan, sebab pada hakikatnya, dia telah diperlengkapkan kemahiran, sikap dan peralatan yang berpadanan. Demikian itu (kegagalan berprestasi), hanya berbangkit apabila cabaran-cabaran itu tidak setara atau sepadan dengan persediaan yang dilakukan sekian lama. Kelekehan tidak boleh diterima dalam apa jua suasana. Pendidikan, pengalaman membuahkan keampuhan peribadi mencapai setinggi-tinggi kejayaan. Kemudian, bijaksanalah berdikari dan berbakti.
(Nota: Perhatikan ejaan “Perburuan” yang kukira diselehengkan daripada perkataan sebenarnya iaitu “Perguruan”).
No comments:
Post a Comment