Wednesday, 30 December 2015

Pantulan 83/15: Sajak Solihin Osman, “Kelambu Usia”

Pantulan 83/15: Menjana kurnia
Melintasi sajak Solihin Osman, “Kelambu Usia”, Dewan Sastera, Julai 2009, muka surat 66. (Termuat juga dalam Kumpulan Puisi “Gelombang Diri”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2015, muka surat 61).
“Kelambu usia …/semakin kelabu diwarnakan kehidupan/ada tompok hitam tertulis/ingatan dari langit cinta.” Dan “Yang direndam hanyalah kelambu usia/ke kolam keinsafan///untuk esok yang menanti/sebuah anugerah fitrah”. Ini sajak yang sarat dengan personifikasi dan metafora dari awal hingga akhir. Pun, setiap satu tidak gelap untuk digarap.
Sudah ghalib, orang terlajak bertindak sehingga timbul penyesalan. Baiknya, ketika sedang muda, sihat sejahtera, kita berhenti berterusan keliru, berfikir secukup waktu dan kembali memilih jalan yang dianjurkan-Nya. Dan Solihin Osman amat yakin inilah pendekatan yang betul. Dengan melihat diri sendiri, merenung prestasi hingga terkini, tidak boleh tidak terlorong arah tuju yang tidak menyesatkan.
Perjalanan hidup seseorang lazimnya berpadanan dengan tuntutan keperluan peribadinya. Agama memberi panduan yang terang, agar bertaqwa, apalagi apabila terlanjur, segera berpaling ketika sedang atau masih diberi kesempatan. Kalau kehidupan diambil sebagai perbandingan, maka ada peringkat-peringkat yang harus dilalui oleh setiap insan - bayi, kanak-kanak, remaja, dewasa, dan tua. Adalah bertuah sekiranya dalam melangkah takah-takah usia itu, seseorang melepasi ujian dengan mendapat pangkat lulus atau lebih baik lagi, kepujian bahkan terbaik pada tingkat cemerlang. Tetapi, latar belakang yang berbeza, memberikan cabaran dan kemampuan yang berbeza pula. Sebahagian gagal awal dan terus kecundang sepanjang hayat. Ada pula yang rebah, bangun, rebah lagi tetapi bangun semula dan akhirnya mencapai apa yang dicari-cari dalam hidup ini. Begitu juga, ada yang lama teruji sebelum sampai ke puncak sedangkan ada yang tidak sangat terdesak (dengan mudahnya) dan masih tetap mengecap nikmat duniawi. Barangkali, yang seharusnya paling kurang diharapi, pengakhiran yang merugi. Semua orang ada peluang mencapai kejayaan, asal tetap gigih dan terarah menuju destinasi. Tidak rugi kalau kita awal-awal lagi menyematkan dalam hati bahawa kita makhluk yang terpuji ciptaan Ilahi dan kerana itu tidak boleh sama sekali mencemarkan status murni itu dengan berbuat dosa dan kemungkaran. Yang mengotorkan usia atau mencorengkan riwayat kita ialah kejahilan peribadi yang menguja ke arah penderhakaan sehingga menyeleweng dari jalan kesempurnaan.
Bersyukur kita terhadap anugerah dan tanda yang sewajarnya menggambarkan kesyukuran itu ialah dengan menjadikan diri seorang insan misali. Tentunya ada pelan tindakan agar niat menjadi.

No comments:

Post a Comment