Tuesday, 5 January 2016

Pantulan E/01/1/2016: Sajak Siti Zainon Ismail, “Nisan luka”

Pantulan E/01/1/2016: Menarah sejarah
Ada sajak lain telah kuselesai memantulnya dan sewajarnya didahulukan pemaparannya. Oleh sebab-sebab ‘teknikal’ sajak berkenaan kusimpan dahulu. Maka, sebagai membuka pantulan 2016, kupilih sajak Profesor Dr. Siti Zainon Ismail, “Nisan luka”, Dewan Sastera, Mac 2002, muka surat 88. Sajak ini menghiris.
Dari segi suasana, terakam gambaran yang tidak bermaya lagi melumpuhkan di persada negara. Dari segi watak-watak, menyerlah semuanya yang telah menjadi “arwah”. Tetapi yang sangat-sangat menggangguku ialah menonton “Kitab sejarah telah dibakar”, langsung memaparkan keterbiaran akan perkara-perkara asasi yang membangunkan mercu tanda, jati diri, tugu atau bukti-bukti kebaktian para pejuang masa silam, sedangkan merekalah yang merealisasikan cita-cita bernegara. Bahawa pengorbanan (darah, penderitaan) rupa-rupanya bukanlah sentiasa dihargai walaupun hasil perjuangan itu dinikmati oleh anak cucu mereka. Maka, kalau begitu di manakah harus kita meluahkan perasaan akan ketidakberhutangan budi/bakti/jasa para pewaris yang memalu serentak memilukan itu? Setiap orang tentu boleh memberi pandangan masing-masing. Tetapi untuk meletakkan simbol dan penghargaan setimpal kepada para pejuang terhadap satu bentuk sumbangan abadi mereka kepada tanah air, tentulah pihak yang berwibawa atau berwewenang terpikul tanggungjawabnya. Apabila tanggungjawab ini diabaikan, maka tiadalah lagi pihak lain boleh dan mampu mengambil alih, kerana keterbatasan yang nyata. Bukankah demikian mewajarkan kita mengisytiharkan ini sebagai suatu tragedi? Suatu kegagalan akibat kejahilan lantaran tertutup minda terhadap sejarah perjuangan mengangkat martabat bangsa menjadi kembali bermaruah!
Sajak ini pendek. Tetapi pendek yang menyenangkan. Sebabnya, setiap baris daripada 14 barisnya puitik belaka tambah lagi judulnya, menjadi 15 baris. Bacalah pula sendiri! Kemudian, rangkap pertama mencengkam rasa. Dalam kepayahan mengalami, masih mampu “mengutip pesan para arwah”. Titik rasaku, lagi-lagi tertinju oleh “Setelah surau semakin sepi/Tambak kering/Panen udang tidak menjadi.”
Aku lagi mahu memetik, tetapi kerana kependekannya bimbang nanti semuanya diulang-ulang sedangkan teksnya juga kupamerkan terang-terangan!
Tetapi, ya, sajak ini boleh berhenti dengan serangkap itu. Perutusan Siti tentang episod malang itu tetap tertanam jua. Bertuah aku, kerana tambahan serangkap tiga baris itu telah menyempurnakan riwayat menyayat ini dengan pemerian berharapan terlampau menggetirkan. (Aku teringat terserempak dengan nama “Mardhiah” dalam Siti Zainon Ismail, “Perjalanan Gelumbang Rayeuk”, Dewan Sastera, Julai 2005, muka surat 84-85 (tentang Tsunami). Ada tertulis “Mardhiah, si kecilku yang setia menunggu di teduh pohon kekuda di pantai Lamgha!”
Ah! Kalaulah setiap hari terbelek sajak-sajak begini alangkah bererti meneliti puisi!
(NOTA: Ruangan “Puisi Bulan Ini”, Dewan Sastera, Mac 2002 memuatkan 16 buah sajak. Ada ulasan ringkas, seperenggan empat ayat, terhadap sajak “Nisan luka” oleh Zurinah Hassan, “Perjalanan Mencari Kebenaran (Analisis Puisi Dewan Sastera, Mac 2002)”, Dewan Sastera, April 2002, muka surat 73-75.)

No comments:

Post a Comment