Pantulan E/02/2/2016: Melangkah bermakna
Bagi orang dewasa, pengalaman telah sewajarnya memberi teladan atau iktibar demi berada pada tahap yang ada sekarang (dan masa depan). Di kalangan remaja, kesedaran tentang faedah menggurui pengalaman seharusnya diberi penekanan kerana pertimbangan tanpa pengalaman bakal menghasilkan pembuatan keputusan atau pemilihan pendirian yang kurang mantap bahkan merugikan. Maka kukira, Hilmi Rindu (Mohd Abdullah) melalui sajak beliau “Cerita Sepasang Kasut”, Dewan Sastera, Mac 2002, muka surat 89, telah mengajar (memperingatkan) manusia agar tidak mengetepikan segala yang mereka lalui dalam kehidupan ini. Yang baiknya, pengajaran itu bukan dituangkan ke minda sebaliknya dipaparkan untuk dikunyah sendiri, jika sudi. Pendekatan yang diambil Hilmi kukira bestari, membiarkan pembaca mencungkil dan memamah apa sahaja faedah daripadanya!
Dalam tiga rangkap yang pendek/sederhana panjang, dimulai puisi menarik ini dengan “Pengalaman lebih berharga” (rangkap pertama) dan “Pengalaman tidak pernah bersisa” (rangkap ketiga). Semua kalimat yang lain adalah peneguhan kepada pengakuan/penyataan tersebut. Dan yang bermanfaatnya ialah pembangkitan kesedaran kepada pembaca bahawa hidup yang dijalani ini ada pelbagai pancaroba. Ada pula surut pasangnya. Maka yang dituntut ialah kegigihan mendepani dan keredaan menerima segala rupa nasib (pasrah), tentulah termasuk yang malang.
Sebagai pencari keindahan, “pecahan kerikil”, “lumpuran rumput”, “mengutip kecaian hujan” sewajarnya memadai dalam sebuah sajak sependek ini. Tidak wajar dilebih-lebihkan sangat frasa-frasa bergaya sampai ‘lejuh’. Asalkan, dilenggokkan pula dengan alunan kalimat-kalimat yang tergembleng menyeluruhi puisi maka menjadilah ia sebuah gubahan yang berjaya.
Sebagai pencari keindahan, “pecahan kerikil”, “lumpuran rumput”, “mengutip kecaian hujan” sewajarnya memadai dalam sebuah sajak sependek ini. Tidak wajar dilebih-lebihkan sangat frasa-frasa bergaya sampai ‘lejuh’. Asalkan, dilenggokkan pula dengan alunan kalimat-kalimat yang tergembleng menyeluruhi puisi maka menjadilah ia sebuah gubahan yang berjaya.
Lalu, ternyata untuk mencipta sajak kita tidak semestinya merangka bentuk yang kelihatan rumit dan bermuatan objek ‘besar’. Sesebuah sajak boleh bersifat pendek, telus tetapi berisi dan boleh dikembangkan ke skala panjang. Inilah contoh berkreatif; betapa perkara rutin harian yang mudah terlepas pandang (seperti berkasut dan yang seumpamanya) sebenarnya berharga direnung dengan cara yang dipermudahkan melalui pemilihan diksi dan pengungkapan kalimat-kalimat dipandu oleh matlamat melarik kesenian dalam gumpalan ciptaan terakhirnya telah menyerlahkan sebuah lagi sajak yang bermakna.
No comments:
Post a Comment