Pantulan A/01/5/2016: Mengukur batasan
Membelek semula majalah yang setahun dibelek tertarik pula untuk mencungkil falsafah yang terselit dalam kebiasaan harian yang tidaklah sangat pelik. Tetapi “Sajak Sepasang Selipar”, Dewan Sastera, Jun 2006, muka surat 16, memberi ilham kepada WanRafar Ishak (Wan A. Rafar), untuk menganalisis kehidupan dengan ketajaman yang mecurahkan faedah kepada manusia. Ada persoalan kesetiaan yang berterusan, keselesaan, kebaktian, kesesuaian, kekhusyukan beribadat, mutu, kejanggalan dan kehormatan.
Ini sajak ‘kecil’ satu baris maksimum tiga patah perkataan dan banyak juga yang sepatah perkataan sahaja. Strukturnya walaupun empat rangkap semuanya berjumlah 26 baris yang segera dapat diberes. Karya ini kalau dibaca secara prosaik, terasa demikian pada rangkap keempat tetapi kian puitik pada rangkap-rangkap yang lain, dengan rangkap pertama paling puitik diikuti rangkap kedua.
Yang menarik dibicarakan ialah bagaimana Wan mengolah semua perkara besar itu dalam ekonomi kata-kata. Dalam sebutan lain, sajak ini berupaya membesar menjadi berkajang-kajang pemerihalan. Kalau kesetiaan menjadi pokok bicara, dicirikan kesetiaan itu dengan kekerapan, keseringan, keselaluan, ke”sentiasa”an hadir, wujud, ada bila-bila masa diperlukan perkhidmatannya (sepasang selipar). Dari segi penggunaannya, begitu mudah kaedahnya, hanya dengan “kuseret” berbanding kalau memakai “sepatu” yang tidak boleh dibuat begitu!. Dan kebobrokan dalam masyarakat, bahkan dalam bidang peribadatan diserlahkan dengan mengakui kepraktikalan menggunakan “selipar” ketika pergi ke masjid beribadat. Sudah menjadi pengetahuan umum, bahawa jenayah atau kecurian berlaku di masjid tetapi “selipar” sangat menakjubkan telah mententeramkan pemiliknya, “khusyuk” menyembah Tuhan, tiada kebimbangan ia hilang dicuri, tidak memberi kesan bererti kerana “harga”nya rendah. Kehormatan diri menutup pemerian kegunaan selipar oleh Wan. Bahawa bijaksana memahami ada kekurangan nyata yang diakui iaitu selipar bukan sebahagian pakaian rasmi kerana dalam upacara atau majlis yang berprestij pemiliknya dikira tidak beradab jika menggunakan selipar sebagai ‘teman’ menghadirkan diri.
Maka sebenarnya dalam kehidupan ini ada tempat yang berpadanan untuk sesuatu dan semua. Demi kelangsungan kehidupan bermakna, manusia seharusnya mampu menilai kesesuaian dengan tidak mengabaikan kekuatan dan kelemahan setiap suatu menggunakan budibicara akal anugerah-Nya.
No comments:
Post a Comment