Pantulan F/01/4/2016: Mengenang jasa
Bukan senang memudahkan ciptaan seni sambil mengekalkan ciri-ciri kesenian itu!
Sajak M. Ashikin, [Mohd Mansor Abdullah], “Memohonlah Selalu”, Dewan Sastera, Mei 2009, muka surat 58, haruslah dibaca lantaran seruan luhur agar kita tidak melupakan Allah kerana “Dia ada memiliki”. Dalam pada itu terbayang pula visi “mama” sendiri sebagai seorang manusia yang berpekerti misali. Temanku ini amat menyanjungi “mama” yang tidak putus-putus berpesan kepada beliau supaya berhenti meminta “jika kau sudah miliki”. Aku mencatat, bahawa peribadi yang dikehendaki ibu ialah, jangan tamak, reda dengan ketentuan, “bertawaduk dan merendah diri” dan gigih. Yang terkesan ada dua watak menyerlah, seorang ibu yang penuh bertanggungjawab mendidik puteranya tanpa henti-henti agar ber“budi pekerti” dan seorang anak yang begitu menghormati ibunya dengan merakamkan proses pendidikan itu melalui sajak ini (dan tentulah mengamalkannya).
Aku sukakan sajak yang ada menyampaikan amanat apalagi secara yang berhikmah sesuai dengan ciri-cirinya genrenya. Yang sedikit sukar ialah bagaimana hendak mengadunkan keindahan penyampaian agar sesebuah sajak itu benar-benar berseni. Tetapi meneliti susunan kalimat, pendek panjangnya, perangkapan, rima, dan nada lembut tetapi tegas yang dipilih, terbukti penyajak ini telah mengambil kira semua sekali sampai tergubah karya tanpa membuka tanggapan menciptanya senang dan sewenang-wenang!
Maka, sajak-sajak begini terkategori bererti, berlandaskan niat suci. Kenapa tidak ? Dengan sekali baca, semua nilai yang tertera terus menjelira ke minda lalu mengingat dan menginsafkan diri apalagi mereka yang telah lupa diri. Di sebalik kejelasan makna, ia tidak pula bakal segera lesap menyepi kalau kita bersedia mencari lebih banyak maksud tersembunyi. Kita boleh sahaja membezakan hamba dan Tuannya, dan bagaimana seseorang hamba seharusnya mengakui keterbatasan kudrat sendiri. Pun hakikat demikian tidak sewajarnya melumpuhkan diri daripada terus berikhtiar sebelum bertawakal dengan keyakinan “Allah maha pemberi lagi mengasihani.” Juga, bahawa dalam dunia ini, kemesraan dan hubungan rapat dalam masyarakat tidak harus diketepikan, misalnya dengan bersikap tidak mengekang sifat tamak peribadi yang mampu mencetuskan kerenggangan dan perselisihan sesama sendiri.
Kuakui, aku tidaklah terlalu asing mengalami sendiri apa yang dipuisikan, walaupun ternyata ada sedikit kelainan dalam pendekatan dan pengalaman khususnya mengenai kaedah penerapan amanat atau perutusan berkenaan. Semoga aku pun terlorong ke jalan yang dirahmati-Nya.
No comments:
Post a Comment