Pantulan E/03/3/2016: Menyulam azam
Barangkali belum terlewat untuk menyiarkan hari ini sesuatu yang lazim direnung setiap tiba tahun baru.
Saya pernah memantul , “Dialog Kendiri Musim Baru (Selamat Tahun Baru 2004)”, Dewan Sastera, Januari 2004, muka surat 36. Dan saya melewati “Puisi Untuk Esok” (Selamat Tahun Baru 2006), Dewan Sastera, Januari 2006, muka surat 50 dan hari ini melalui “Aku Penenun Waktu (Selamat Tahun Baru 2007)”, Dewan Sastera, Januari 2007, muka surat 33. Mungkin akan saya serempaki sajak-sajak teman yang prolifik ini, Solihin Osman, bertema sama dalam belekan yang akan datang. Tetapi, secara rambang kupetik,”Apakah itu nasib?” (2006) atau “sesekali menoleh ke belakang/ada referensi senyuman dan tangisan” (2007), yang membantu kita merumuskan: bahawa waktu yang berlalu tidak pergi begitu sahaja kerana orang yang berminda menimba hikmah dari rebah bangun perjalanan hidup memanfaatkannya demi kelangsungan kembara seterusnya. Itulah pendirian yang bakal melimpahkan tuah atau lebih menghasilkan faedah.
Tidak pula aku ingin berpanjangan dengan gaya bahasa, misalnya metafora yang berceretetan sekujur rangkap. Cukuplah mengakui frasa “penenun waktu”, pada judulnya menunjukkan kekreatifan kerana memang lakuan dan minda penenun penuh tertib lagi berimaginasi. Dia ada bahan-bahan yang mencukupi, ada ketekunan, ada kemahiran menjalin, ada keselarasan tindakan, ada peringkat-peringkat kemajuan, matlamat akhir, ada produk yang sempurna! Ada khalayak yang memperolehi faedah!
Kita yang berminda bernyala mutiara, melarik citra dari liku-liku perjalanan yang bercampur tahap pencapaian. Dalam menuju ke depan, beberapa syarat wajar diingati. Pada masa yang berlalu adakah kita berjaya dan menjadi rutinlah penerusan semasa dan ke muka. Kegagalan tentu oleh sebab terganggu, kurang menumpu, kecundang oleh dugaan, dangkal ilmu, atau bersikap asal cukup makan. Kita boleh terus berpuas hati dengan kedudukan atau mendongak serta bertekad, jadikan mereka yang di atas teladan agar menyemarakkan semangat juang. Pengalaman boleh membenihkan petua dan formula. Dengan kehendak Allah, kita bakal lebih berwibawa dan paling di hadapan memimpin pasukan. Mencitra niat harus berdasarkan realiti. Keupayaan jangan diketepikan. Jika tidak, cita-cita boleh bertukar rupa semacam angan-angan. Sungguh malang! Walaupun kita ada, seperti tiada di mata khalayak lantaran hari-hari yang berlalu, sekarang dan yang mendatang tidak sedikit pun mengilhamkan penambahbaikan. Azam tahun baru, sesiapa pun, lazimnya serupa. Pendekatan bergelumang kamilan suka duka, senang susah di medan juang dari bulan ke bulan membezakan pencapaian – gagal atau handal.
No comments:
Post a Comment