Wednesday, 30 December 2015

Pantulan 70/15: Sajak Solihin Osman, “Rona-rona Kehidupan”

Pantulan 70/15: Amanah Bumi
Dalam kejerebuan menebal di sekelilingku, terselak sajak Solihin Osman, “Rona-rona Kehidupan”, Dewan Masyarakat, Jun 2004, muka surat 66. Beliau mengesali pengabaian manusiawi sampai bumi terluntur seri. Terpacak dalam di fikiran betapa malap dan tak bermayanya kehidupan manusia apabila buminya meluru melangkahi proses pemusnahan, tentunya oleh tangan-tangan ganas mereka sendiri.
Sukar untuk menafikan bahawa tanpa kehijauan tumbuh-tumbuhan, kebiruan lautan, kecerahan angkasa, kejernihan sungai, kemalaran susunan rimba, dan gambaran-gambaran lain yang mewarnai keceriaan alam semula jadi ini maka para penghuninya tidak akan berterusan hidup dengan keselesaan yang semestinya. Tanpa kesemulajadiannya, tumpullah segala-galanya. Mata tidak lagi berpandangan saujana kerana terhadang keupayaannya; minda terbuntu menjana kerana sumber ilham yang mengalir dari keindahan seribu satu ciptaan Tuhan tidak lagi menggerakkan jentera fikirnya. Semangat yang sentiasa bernyala-nyala, langsung mengerdip, gagal mendorong pancaran sinaran cahaya gemerlapan.
Betapa kita perlu menghargai anugerah Ilahi. Dengannya, semenjak zaman bahari manusia menikmati kehidupan dari kemakmuran yang terhasil. Demikian, kerana tahu memelihara sumber yang seharusnya tidak dipersesiakan demi faedah nyatanya. Pelbagai tanda yang ‘bukan-bukan’ telah dipaparkan di depan mata tanpa surutnya. Mereka yang jahil sahaja akan terus merajalela, tidak mengambil iktibar daripadanya. Yang amat malangnya, bukan orang lain sahaja yang teraniaya. Sudah terbukti benar, diri sendiri sama-sama menderita tanpa berupaya mengelakkannya.
Manusia bukan dicipta untuk memusnahkan alam. Seruan yang lantang bertujuan pasti agar manusia mengerti tanggungjawab ketika sedang diamanahi.

No comments:

Post a Comment