Pantulan 73/15: Pengalaman di halaman
Hari ini kusinggah membaca peri Azmi Yusoff, “Kumbang dan Kupu-kupu”, Dewan Sastera, Mei 2008, muka surat 91. Terasa pula hendak membandingkan pengalaman sendiri yang kerap berulangan. Sebenarnya hampir setiap hari aku memperhatikan, kumbang hitam ‘menyeri’ bunga yang berwarna ungu/biru di tepi jalan berhampiran rumah. Takku tahu pula namanya. Pokok bunga itu melilit ke pokok besar yang tumbuh di situ, lalu bergayutanlah bunga-bunganya. Dari satu kuntum ke satu kuntum yang lain, kumbang itu menjajap. Banyaklah nectar bunga dicicipnya. Kuperhatikan juga dengan berbuat begitu terbawalah debunga ke kuntum-kuntum yang lain bahkan ada juga yang tergugur daripada badan/kakinya ketika keluar dari kuntum-kuntum itu, langsung ke bumi.
Tidaklah pula dapat kumemahami lebih jauh daripada apa yang kelihatan di mata. Tetapi aku yakin, kumbang itu melakukan tanggungjawabnya, dengan ‘kesedaran’ bahawa itulah yang wajar dilakukan pada masa yang ditentukan. Ia akan beredar sebaik selesai melakukan. Dan tentulah ia tidak bermaksud memusnahkan bunga itu. Dihirupnya madu untuk kesihatannya, dilumurinya debunga dengan maksud-maksud yang berfaedah, yang seharusnya semula jadi wajar berlaku. Kita mempelajari rasionalnya dahulu, ketika masih bersekolah!
Dan, biasa pula aku memperhatikan kupu-kupu yang berterbangan di sekitar halaman rumah. Kadang-kadang ia terbang agak tinggi tetapi lebih lazim terbangnya rendah merumput, barangkali kerana saiznya yang kecil atau mengelak daripada bahaya. Yang nyata ia terbang dengan tidak terarah dan kerap kali nampak tidak bermaya.
Dan kupu-kupu, tugasannya lebih tidak menyerlah. Kekecilan badannya, keawang-awangan gerak-geri terbangannya menimbulkan tanda tanya. Tetapi aku percaya, seperti juga kumbang, kupu-kupu yang berbagai-bagai jenis itu melaksanakan tanggungjawab yang terkhusus baginya semenjak azali. Dan kalau ia merosakkan pastilah ada usaha mengawal kebiakannya. Sambil ia berjuang untuk hidup ia terdedah kepada pemangsa dan tentulah ia harus bertindak mempertahankan survivalnya.
Dengan begitulah alam berterusan menampung keperluan semua. Mungkin kita perlu mencungkil rahsia-rahsia atau hikmah-hikmah di sebalik penciptaan dan perlakuan yang beraneka itu.
Dengan begitulah alam berterusan menampung keperluan semua. Mungkin kita perlu mencungkil rahsia-rahsia atau hikmah-hikmah di sebalik penciptaan dan perlakuan yang beraneka itu.
Aku tidak bercadang meneruskan, dengan menyelak ‘kebestarian’ di sebalik kata orang tua-tua…! Secalit coretan pun mampu melimpahkan kebanjiran huraian.
No comments:
Post a Comment