Tuesday, 29 December 2015

Pantulan 45/15: Sajak Wahba, “Warna-warna Kehidupan”

Pantulan 45/15: Menduduki Peperiksaan Terakhir
Dalam menjalani kebiasaan kehidupan seharian, mudah sahaja kita terlupa bahawa tidak semuanya berterusan seperti yang kita kehendaki. Maka itulah sebabnya, ada kedua-duaan, berpasang-pasangan, pertentangan dan seumpamanya. Hakikat ini muncul ketika membaca sajak teman fbku, (Wan Hamzah Awang Wahba) Wahba, “Warna-warna Kehidupan”, Dewan Sastera, Mac 2005, muka surat 82. Beliau bermurah hati memperingatkan bahawa setiap yang kita lakukan di dunia bukan tanpa implikasi, “kerana esok/kita akan dihisab/oleh-Nya.”
Kalau hendak dikirakan, usia kita menjalani fasa-fasanya: kanak-kanak, remaja-belia, dewasa-tua. Seseorang mengalami pendedahan dalam setiap fasa; ada yang berciri serupa dan ada pula yang khusus ciri-cirinya berbanding dengan seseorang yang lain. Pada keumuman pengalaman pun tentulah ada pengajaran yang dapat diraeh tentang matlamat hidupnya. Dia mungkin dikehendaki menyumbang bakti kepada alam sekitarannya, keluarga, masyarakat dan negara. Dia juga diharapi menghindar perlakuan merugikan orang lain seperti memusnahkan harta-benda awam dan seumpamannya. Pendek kata dia tidak wajar menjadi unsur yang boleh dicapkan tidak berguna demi kesejahteran atau muslihat umum. Pada kekhususan pengalaman pula, seseorang terbuka pilihan untuk menterbaikkan pencapaian cita-cita mulianya. Kalau ia hendak menjadi Guru Sejarah, biarlah kelak dikenali di sekolah sebagai Guru Sejarah yang tiada tolok bandingnya. Kalau ia mendeklamasikan sajak, deklamasi itu biarlah yang paling terkedepan oleh sebab kena caranya lagi terkesan jelira di kalangan khalayaknya. Pendek kata, dia betul-betul menguasai kerana ilmu yang dimiliki, yang mengwibawakan, mengungguli persaingan dalam bidang yang diceburi. Semua tahap pencapaian tidak boleh terelak daripada ujian atau penilaian orang atau pihak lain yang bertanggungjawab. Demikian sudah menjadi lazim bahkan syarat wajib untuk berada di tempat terhak. Tidak ada kenikmatan oleh sebab kealpaan dan kegagalan. Jadi dan lebih utama lagi, kita tiada pilihan untuk menghadapi penghisaban Ilahi kecuali dengan memenuhi semua syarat yang telah dianjuri Nabi dan Kitab Suci.

No comments:

Post a Comment