Pantulan 31/15: Jati diri
Sajak-sajak cantik tentang kemerdekaan karya teman fbku [SN Ahmad Khamal Abdullah] KEMALA, yang sempat kulintasi, ialah “Lagu Kemerdekaan”, (1966), “Dedikasi” (1969), “Jangan Berduka Malaysiaku” (1984) dan “Pada Setiap Kali Kau Tiba, Ogos” (1972). Selaras dengan fokusku pada sajak-sajak ‘lama’ maka yang paling awallah kupantulkan. Namun, kerana panjangnya tiga halaman, kukira yang paling mencetus reaksiku ialah kalimat-kalimatnya, “jiwa hidup tanpa belenggu”; “bersama harga diri”; “gambar peribadinya/kita masih belum bisa bertemu”.
Tentang jati diri, seingatku sudah banyak usaha rasmi dan tak rasmi telah diinisiatifkan, oleh pelbagai pihak. Semuanya berlandaskan Perlembagaan. Kita ada Dasar Pelajaran Kebangsaan, Bahasa Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Rukunegara, Wawasan 2020….. Kalau dibaca buku Kongres Kebudayaan Kebangsaan, 200 rumusan telah terakam. Dikemaskan pula dengan Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan Negara, dan sederetan yang panjang dokumen-dokumen berstrategik lain-lainnya sudah memadai untuk memperlihatkan “gambar peribadi”, jika sebenar-benarnya terealisasi. Diakui, memanglah sudah banyak yang tercapai. Namun, kalau jati diri menjadi kriteria utama, ia menuntut penelitian semula. Tanpa pun merobah dasar-dasar kunci, serumpunan strategi yang tetap kental masa dan tanpa peka perubahan di kalangan para pemuka, jangan sekali-kali diketepikan. Sesiapa pun memegang teraju, di peringkat mana pun, (baca, pada semua tahap), tanggungjawab memantau demi mempastikan capaian matlamat tidak boleh tersekat-sekat. Semuanya mesti tiba pada garis penamat. Sebab, yang sering berlaku, mudahnya disebut, sekali perubahan muncul, sekali semangat tumpul bahkan bacul, serta pemantauan mundur, tenggelam dalam lumpur, tersumbat dalam botol. Yang timbul adalah keloi!
(Rujukan: “Himpunan Sajak Dari Majalah “Dewan Bahasa” Sept 1957-1967”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1969, cetakan pertama; Ali Ahmad, “Perintis Sajak2 Melayu”, Penerbit Fajar Bakti, 1971; Ahmad Kamal Abdullah & Ahmad Razali Haji Yusof, “Malaysia Dalam Puisi”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, cetakan kedua; Zalila Sharif & Hasni Abas, “Antologi Puisi Tanah Airku”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005, ediisi kedua, 2005).
NOTA: Sajak terpamer disalin daripada “Malaysia Dalam Puisi”.
No comments:
Post a Comment