Pantulan 82/15: Lakonan kelabu
Ada puisi perlu dibayar harga tinggi menghayati. Malangnya puisi demikian tidak pula boleh ditolak ke tepi. Dan yang satu ini oleh Malim Ghozali Pk termasuk sekali. ("Merah Derita Senja Ketika Tiba Wira", Dewan Sastera, September 2008, muka surat 87). Ada sajak bukan hanya untuk orang bijak (mengagak). Sesiapa yang ingin keindahan susunan bahasa boleh juga membaca sambil bercanda tanpa dicuba menggali makna. Dan bagi penikmat, inilah kaedah bestari. Biarkan sajak-sajak begini muncul dan lestari kerana tidak dimengerti maksud asli. Sebab masa, bak wang, sering dimiliki, walau dalam kekurangan, sentiasa tidak memberi ruang berhamparan untuk perahan minda waktu senggang. Namun, baca boleh berulang-ulang. Seharusnya tidak mudah berundur akur.
“Merah derita senja disapa kelam kolam”, “Merah derita senja terbenam di perut malam” adalah pembuka dan penutup yang seimbang. Dan alam telah mengilhamkan, mewarnakan latar perlakuan. Ada “wira berbakat besar”, yang tiba ketika “Merah derita senja terbenam di perut malam” tetapi jangan lupa “seri panggung sudah lama beradu”. Maka kalau pun pentas tetap bersedia menerima pelakon handalannya, tanpa prasyarat, segala-galanya akan sesia. Ya, sia-sia. Tidak syak lagi. Barangkali demikian satu versi reaksi. Pun sajak harus berfungsi, menggamit, mengikat, kerana berseri, tersendiri, memercikkan versi-versi tafsiran sipi lain-lain lagi!
No comments:
Post a Comment