Pantulan 54/15: Peluang
Sepuluh tahun satu tempoh yang lebih dari mencukupi untuk merobahkan. Wajah yang berisi dan licin menjadi kecut dan kering. Ketangkasan pendekar membingkas longlai dipasung kenduran otot bersiratan. Hingar-bingar cucu-cicit tak selamanya mencuit. Demikianlah ketuaan meresapi keperibadian dan berpotensi mempengaruhi neraca pencapaian. Tetapi,WanRafar Ishak tetap bersyukur “diberi kesempatan untuk hidup” dan aku percaya beliau telah merealisasikan hasrat yang tersirat setelah menyiasat dan menilai semula perjalanan ke takat hayat terkini setelah “berlari ulang-alik di padang kehidupan”. Begitulah, kupilih sebuah sajak beliau, “Potret Diri, 2005”, menghormati “Karyawan Bulan Ini”, Dewan Sastera, Jun 2006, muka surat 15, sebagai landas memantul maknawi.
Yang lazim berlaku ialah kealpaan melakukan seperti yang dituntut oleh ajaran, yang bertujuan agar kita tidak tergelincir menuju destinasi akhir. Mujurlah kalau tidak tertutup rapat daripada laluan hidayah sekiranya prestasi pada suatu titik berhenti sementara membuktikan kita belum mencapai piawaiannya. Maka, itulah sebabnya apabila kesedaran timbul di pertengahan kembara, kita merangka pelan tindakan yang lebih nyata, didukung ujaan jitu di dada yang lebih terbuka. Tetapi, seringkali juga yang terjadi tidak seperti yang diimpi. Pendek kata, lebih mudah berkata-kata daripada melakukan sampai jadi, menepati atau mengatasi daripada yang asalnya tertera di hati. Namun, insan yang sudah memahat hajat dengan persediaan terkuat akan menerima nikmat. Semoga, kita tidak dilekakan oleh kepanjangan usia dengan rantaian kejelekan di luar rangka niat. Kita sedar selaku manusia, banyak contoh tentang manusia yang sangat berupaya menimpa kerugian lantas menggandakan derita di ujung helaan nafas tersisa. Kesempatan yang terbuka sewajarnya meraehkan ganjaran yang lumayan di sisi Ilahi. Semoga kita diberkati. Insya-Allah.
No comments:
Post a Comment