Pantulan 37/15: Kenikmatan
Muncul lagi sebuah hasil kreativiti renjisan hati sahabatku sasterawan ternama, Dato' Mohd Mansor Abdullah. Beliau berkarya tak henti-henti. Kali ini, tema sajak M. Ashikin berjudul “Malam Pengantin”, Dewan Sastera, November 2003, muka surat 74, kukira amat jarang diketemui tercipta dalam bentuk puisi. Kalau mahu diantologikan karya-karya bertema begini, yang ini wajar dikutip paling mendahului kerana berjaya merakamkan pengalaman sejati seorang suami yang kembali berperstasi. Kupasti sukar sekali menciptanya. Dua belas tahun dulu temanku yang sedang gagah perkasa mengalami peristiwa bergelora “setelah sekian lama taufan tak berhembus lagi” dan beliau merakamkan kesyukuran menghabisi malam dengan grafik kata-kata yang nyata lagi berani, menimbulkan berahi serta simpati. Inilah perisytiharan kejujuran cinta terhadap isteri yang berpaduan “… janji membina mahligai bahagia buatan sendiri”.
Perkahwinan sewajarnya berpaksikan cinta kasih sayang di antara dua insan. Dengan panduan ajaran agama maka ikatan itu tentulah akan berterusan sampai ke akhir hayat. Jalinan ikatan keramat itu akan lebih erat setelah rohani dan jasmani suami dan isteri sebati, seakan satu tanpa berbelah bahagi lagi. Dalam keharmonian hidup berumahtangga itulah barakah mengalirkan rezeki melimpah ruah. Kerukunan rumahtangga akan memakmurkan semuanya – pasangan yang dirahmati, keturunan yang berpekerti terpuji. Masyarakat akan bermanfaat oleh sumbangan bakti. Dan inilah yang dituntut sebelum seruan Ilahi disambut.
No comments:
Post a Comment