Wednesday, 30 December 2015

Pantulan 58/15: Sajak Norhisham Mustafa, “Sepantun Tamak”,

Pantulan 58/15: Hati iri/iri hati
Sajak-sajak yang memikat tidak semestinya terkumpul di satu majalah perdana sahaja. Dalam majalah yang terhad edaran lagi percuma pun boleh kita jumpa, kalau kita mahu meneroka. Begitulah hari ini sebuah sajak sahabat yang hebat, Norhisham Mustafa berjudul “Sepantun Tamak”, Jendela Timur, Bil. 29, April 2010, muka surat 25, kujumpai pagi-pagi lagi. Terus terang kunyatakan, kutertarik dengan teknik beliau mengakhiri dan memulai setiap kalimat dengan kata yang sama, kecuali dua kalimat penghulu rangkap. Kita sudah biasa, kalau kita bertarawih kerap kita dengar imam hafiz membaca ayat-ayat Suci al-Quran dengan cara demikian. Dalam kes ini, “…relung rezeki/rezeki berbahagi...”; “…lama terpaku/terpaku kaku…” dan lain-lain. Benarlah sesebuah sajak seawalnya harus mampu menawan khalayak dengan lenggang-lenggok dan susunan kata-kata dan kalimat-kalimatnya. Baharulah berbaloi untuk memanfaatkan perutusannya. Jika tidak isinya boleh kita cari tanpa mengusap puisi. Kitab-kitab agama banyak menghuraiknya.
Sifat tamak pada hakikatnya sangat dikeji. Kalau kita sendiri mengamalkan barangkali kita tidak segan-segan mempertahankan tohmahan orang lain tentang keterlanjuran kita. Kita tidak akan mengakui. Kalau orang lain menjadi pemerhati dan peneliti, dengan bukti-bukti, kita tentulah menjadi sasaran bualan ramai orang kerana kita hanya menjaga kepentingan peribadi berbanding jauh sekali bersimpati dengan pihak lain yang terampas ganjaran oleh ketidakadilan, kegelojohan dan kelahapan kita. Orang tamak asalnya boleh jadi menerima habuan setara atau sama bahagian dengan orang-orang lain juga dalam sepasukan. Tetapi apabila yang terhak kepada orang lain dikaup juga, dengan tidak mengambil kira garis panduan atau tatacara, penyelewengan, persengkokolan, fitnah, penipuan, penyingkiran – semuanya dengan secara tidak sah maka terserlah wajah sebenar orang yang tamak. Orang yang tamak adalah orang yang cerdik, berakal membelit. Mindanya bergerak aktif mencari peluang agar sentiasa memperoleh habuan. Dia tidak malu tampil di hadapan, tidak segan menyepak terajang, tidak bimbang diserong pandang, asal akhirnya berlimpah-ruah harta, terpandang kedudukan, perasan mengatasi kebanyakan orang. Kalau begitu, masihkan benar, “orang tamat selalu rugi? Rugi seperti anjing dengan bayang-bayang”. Bayang-bayang yang sentiasa berkembar disuluh cahaya. Cahaya siang, cahaya malam?
(Nota: Sajak ini termuat juga dalam kumpulan sajak Norhisham Mustafa, “Remuk Hati Bangsa”. ITBM/Pena, 2013, muka surat 128-129).

No comments:

Post a Comment