Pantulan 23/15: Kelangsungan
Dalam sajak, perkataan “penghujung” sentiasa mengingatkan kita kepada keakhiran hayat atau kematian. Ia lazimnya dibayangkan sebagai mengerikan, kerana manusia tidak bersedia menemuinya, lalu tiadalah pilihan kecuali mendepani penyiksaan. Ketidaksediaan itu bukan pula disebabkan kejahilan atau tidak mengetahui balasan lantaran tidak beramal saleh atau bertakwa. Sebab utamanya kerana nafsu lebih menguasai. Nafsu inilah yang melekakan, menjadikan semua suruhan tidak ditaati sepenuhnya. Ditangguh-tangguhkan. Keduniaan mengatasi. Ada keyakinan apabila tiba masanya, ketika usia meranum, masjid akan dijelangi, surau akan dikunjungi dengan kekerapan yang mendadak jauh lebih tinggi berbanding sebelumnya, ketika sarat menggelumangi alam kehidupan duniawi. Kepustakaan keagamaan dibeleki, pembacaan lain terketepi. Mengaji tak berhenti bahkan tak cukup makna perkata Kitab Suci, tambah lagi belajar bahasanya! Pakaian pun melabuh ke kaki. Tetapi, benarkah begitu bakal berlaku dan berterusan selalu? Terjaminkah pada usia bercucu, kita tiada digugat-ganggu, misalnya oleh desakan-desakan bercorak baru, di luar tanggapan terdahulu? Setahun dua bersara, ada gesaan untuk patuh beribadat, mengharap berkat , semoga tercapailah hajat yang sarat. Alangkah bertuahnya kalau berlanjutan, apatah lagi tiada pun himpitan material lantaran sekian lama dilimpahi rezeki. Tetapi, sedang kesihatan tetap meruangkan kesempatan, bagaimanakah bakal bertemu kepastian seperti yang terpahat untuk para umat?
Dua puluh tahun dahulu, ataupun sekarang kukira mesej terakam dalam sajak teman fbku M Jusoff Taib, “Bila Tiba ke Penghujungnya”, Dewan Sastera, April 1994, muka surat 46, tidak akan banyak berubah. Kunyahilah. Aku tetap sukakan “kearifan itu sentiasa terbeban” dan kalimat yang menyusuli, cubalah sendiri ciptakan agar mengatasi yang sedia terpintal bererti, “oleh penghujungnya yang ingin dihilangkan”.
No comments:
Post a Comment