Pantulan 56/15: Kecintaan
Sudah lama benar tak kuusapi tingkah cara temanku Mohd Sabri Ibrahimberpuisi. Bagaikan dijanji-janji muncul berseri “Alunan Rindu”, bertamu lembut ceria kusambut ketika tengah hari (Dewan Sastera, Disember 2006, muka surat 72). Kukira pemerhati yang merenung berahi sahaja boleh membongkar erti dari semua kejadian dalam alam ini. Dan kita ingat firman, pada pertukaran siang dan malam ada pengajaran boleh dimanfaatkan bagi peminda yang tajam. Sajak temanku ini tak perlu ditebas dikupas sebab jelas sungguhpun dengan berkias. Adunan kata-katanya berona mesra cinta dan ketakjuban terhadap Tuhan Yang Maha Bijaksana. Hanya aku sengaja memetik pertanyaan cantik, “mengapa kita di alun rindu begini?” Puitik bersahaja tersangat mengesankan!
Dan di situ sebenarnya berinti kunci pendirian. Pengakuan diri kerana kekerdilan dan ketergantungan hasrat terkemuncak. Sepanjang detik masa mara, kita membangun takwa kerana mengetahui hala sebenar kelak selepas dipusarakan. Kalau sebesar-besar anugerah yang diberi kita boleh abaikan, jauhlah lagi kita mensyukuri yang tak dapat dilihat di mata atau yang tersembunyi. Kita semua tahu, minda berfungsi mendalami serba-serbi yang mengelilingi kehadiran. Kalau terbuka peluang tambahlah ilmu pengetahuan agar kita bijak memilih yang bererti berbanding yang merugi. Sepanjang kembara di bumi, ada tuntutan harus dipenuhi. Kita berkeluarga, mewariskan baka penyelamat generasi. Selesai berbakti kita seharusnya tidak bimbang untuk kembali mengadap Ilahi. Gemblengan membina ciri-ciri peribadi mampu berbakti dan ketakwaan sejati sekali gus menjadi pedoman menuju pangkalan abadi. Kerinduan kepada Pencipta adalah satu kurnia. Perasaan ini berhidayah, terhak bagi orang-orang yang setia dan rela. Seseorang bebas untuk tidak memberati kepentingan mengakuri atau menerima seikhlas hati. Kupasti pilihan tepat dan muktamad tiada duanya, iaitu menghairahkan kerinduan yang kian sebati seperti sudah menghuni pada temanku ini.
No comments:
Post a Comment