Pantulan 41/15: Penyesalan
Teman fbku yang cekal berkarya, Norhisham Mustafa, melalui “Pedih”, Dewan Sastera, Jun 2004, muka surat 43 bertanyakan, “Siapakah yang tak pernah/bangkit, dari tidur malunya.” Ia mengejutkan honar kealpaan diri ketika gah mengembara di dunia tanpa meninggalkan warisan nama yang semerbak oleh kejahilan, kesombongan, kedurhakaan membelakangi perintah Ilahi.
Sungguh kita diberi kesempatan untuk mentakwakan diri terhadap Pencipta. Maka siapakah lagi hendak dipersalahkan kalau kita mengingkari dan mungkar juga. Ghalibnya, di kalangan kita, masa menghela nafas tidak jauh berbeza jangkanya, lebih dan kurang. Dalam kesamaan hayat itulah kita harus berbakti, berjasa, beribadat menjauhi segala yang ditegah sampai ke akhir hembusan. Kita sedar bahawa amalan baik dibalas dengan kebaikan sebaliknya yang jahat dibalas dengan penyiksaan. Apabila tidak juga kita melakukan yang sewajarnya, maka penyesalan tidak dapat dielakkan, walaupun tidak ada gunanya lagi. Tetapi, tanpa sangkalan, kita sudah tidak ada lagi peluang memperbaiki atau menebusnya kerana keterlanjuran ada batasannya. Sama sekali tidak boleh dibiarkan berterusan menularkan. Apa yang tersurat bakal menjadi akibat. Pun, sedikit-sedikit perlakuan baik yang secara sedar atau tidak sedar pernah kita lakukan melorongkan kita menghindari ke“pedih”an dalam penantian itu. Ia segera berakhir dengan kematian. Pada bila-bila masa. Malangnya, di sana pun, penghakiman berkesudahan dengan kekalahan yang tersangat merugikan.
No comments:
Post a Comment