Tuesday, 29 December 2015

Pantulan 34/15: Sajak M. Ashikin “Potret Senja”

Pantulan 34/15: Meremang
Sebenarnya ada empat sajak dimuatkan sebagai “Puisi Pilihan” menghormati teman fbku, Mohd Mansor Abdullah (M. Ashikin) sebagai “Karyawan Bulan Ini”, Dewan Sastera, Mac 2003. Sajak paling panjang berjudul “Pesan dari Menara” dan yang terpendek berjudul “Potret Senja”. Dua sajak lain ialah “Suatu Pemberian” dan “Mentera Semangatku”. Sajak “Pesan dari Menara” (ciptaan Jun 2001) kujumpai juga dalam kumpulan sajak beliau, “Lembah Damai”, ITBM/PENA, 2014, muka surat 26-29. Terpancar pula falsafah yang dipegang beliau dalam berkarya seperti jelas tersinar dalam “Mentera Semangatku”. Hanya, untuk pantulan kupilih “Potret Senja” (muka surat 18), bukan sahaja kerana pendeknya tetapi cuitharuan perasaan sendiri, oleh keaslian cara luahan yang melankolik, “apakah lagi bisa kuhulur” (2x), mengakui ketiadaupayaan manusiawi. Menepati sungguh dalam latar keadaan mengalami penghakisan usia semasa yang kian meluruh.
Betapa bertuah kita, kerana dilimpahi rezeki. Merasai semua sekali suka duka hidup di alam tradisi dan dunia canggih masa kini. Ada kita lalui kesukaran sebagai anak-anak nelayan, petani, buruh dan lain-lain lagi. Dengan kegigihan, kesempatan terbuka, bantuan biaya, menjadikan kita mendaki dan dikenali, penuh dengan jasa dan bakti. Hampir kita memiliki serba-serbi. Tetapi aku suka menggambarkan bahawa penghidupan ini pada akhirnya sampai ke saat berdua-duaan dengan seseorang yang kita sendiri jadikan raja atau permaisuri. Kemudian, ya, kemudian pada titik paling akhir, dalam limpahan segala-galanya - nama yang terbilang, darjat yang terangkat, harta yang menselesakan - tetap juga kita tidak bisa menghindari realiti tersurat. Benarlah kata temanku ini, pada takah sekarang, kehadiran kita sudah “remang”. Cuma selangkah dua lagi untuk berhenti.

No comments:

Post a Comment