Pantulan 44/15: Berisi
Tokoh yang sedia diakui, (Shafie Bin Abu Bakar) Shafie Abu Bakar, mencipta “Penyairku”, Lembaran Mastera, Bil. 16, Ogos 2004, muka surat 29 dalam Dewan Sastera, Ogos 2004 untuk menyatakan falsafah kepuisiannya dan sekali gus kuanggap menasihati para penyajak agar sedar tuntutan berkreativiti. Teman fbku ini menganjurkan, “lihatlah semua/dengan pandangan keseluruhan/yang mengintiisarikan”. Jangan persia-siakan jerih fikir dengan hasil yang hambar dan tidak langsung mencabar minda serta mendorong ke arah penambahbaikan para khalayak. Dengan menekankan pembenihan dan penyemarakan nilai-nilai keagamaan yang dianuti, jelaslah kepada kita bahawa tokoh tersohor ini berniat murni dalam berpuisi iaitu mengajak kita menjadi karyawan terpilih yang setia kepada Pencipta.
Ada beberapa penyajak pernah menyatakan pendirian tentang rasional mereka berpuisi. Salah satu yang aku ingat sangat ialah Kassim Ahmad melalui sajak berjudul “Penyairmu”.
Aku sendiri? Aku mencari-cari, dalam puisi keindahan yang segera membangkitkan kekaguman. Dari dan di sebalik setiap kata-kata dan kalimat-kalimatnya yang diselak, sajak bersahaja lagi berhikmah mengajak manusiawi supaya berbakti kepada manusia dan pertiwi. Mereka yang terlajak serukan kembali ke pangkalan jalan hidup berpedoman dalam kebenaran. Dari mula-mula aku mahu puisi berisi kemerduan, berlenggang-lengguk setertib sebuah tarian. Pesanan berguna terakam melalui sulaman bahasa yang kekal mendukung kekuatan. Sajak-sajak itu bukan pembaziran mengandungi kemungkaran dan keangkuhan peribadi serta kepalsuan. Tidak kugemar sajak, sebaik tersiar, lantas terlipat berehat di rak sebab jasad dan rohnya bobrok. Jumlah penyiarannya yang berterusan bertambah, seharusnya menggahkan lagi kewibawaan genre di persada persajakan. Pendek kata, puisi mesti bergemerlapan, oleh kesempurnaan penggubahan – gemblengan minda yang matang, bahasa yang menepati, beralunkan melodi yang meninggalkan kesan hingga diwarisi. Janganlah dicipta sesebuah sajak yang ‘asal jadi’ kerana mengejar publisiti.
(Nota: Sajak ini termuat juga dalam Shafie Abu Bakar, “Wajah Diri”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, muka surat 24-25).
No comments:
Post a Comment