Wednesday, 30 December 2015

Pantulan 62/15: Sajak Siti Zaleha M. Hashim, “Tun Seri Lanang, Mengapa Tiada Cetera Ketiga Puluh Tiga”

Pantulan 62/15: Peranan penulis
Sudah tidak terkira lagi jumlah karyawan menimba bahan daripada pujangga silam. Paling unggul jadi sumber ialah karya agung Sulalat-Us-Salatin tercipta ketika kesultanan Melayu diruntuhi Feringgi. Demikian juga, penyair bestari Siti Zaleha M. Hashim, meramas minda meneroka persoalan dan kemungkinan tentang penyelesaian yang pastinya tiada jawapan muktamad. Pun sajak beliau, “Tun Seri Lanang, Mengapa Tiada Cetera Ketiga Puluh Tiga”, Dewan Sastera, Januari 2008, muka surat 37, membuakkan sebak oleh pengangkatan episod tragik pengorbanan para penjawat yang berdedikasi demi memelihara ketahanan dan kelangsungan sebuah institusi yang sewajarnya bukan mewakili peribadi.
Ada hikmah di sebalik penamatan Sejarah Melayu pada Cetera Ketiga Puluh Dua. Sebab itulah banyak versi – ditambah oleh para penyalin, dan sekarang pun para sarjana mengkaji pelbagai manuskrip dan menyelenggarakannya sambil menampakkan kelainan. Bagaimana Hang Jebat bertukar menjadi Hang Kasturi; bagaimana Hang Tuah bukan berasal dari Melaka, bagaimana pengarang sebenar disamarkan… dan lain-lain! Semuanya menimbulkan pikatan dalam setiap pembaca untuk mendalami dan merumuskan pula pendirian peribadi masing-masing. Karya agung tidaklah banyak tetapi kalau hendak dipilih hanya satu, Sejarah Melayulah sahaja pilihan. Tiada sebandingnya, tiada taranya.
Sejarah Melayu memaparkan dunia Melayu, yang uniknya hampir sahaja masih boleh mewakili masyarakat Melayu abad ke-21. Pandangan lain yang timbul yang menafikan gambaran demikian pada dekad-dekad kebelakangan tetap minoriti. Ciri-ciri kehidupan masyarakat Melayu telah diasaskan oleh pujangga silam dan terbuktilah bahawa para intelek, pada zaman mana pun, harus menyedari peranan dan tanggungjawab mereka. Karya-karya yang mereka hasilkan seharusnya hidup sepanjang zaman. Ia bukan sahaja dibaca, ditelaah, diseminarkan bahkan membangkitkan polemik yang tak berkesudahan kerana mencetuskan idea-idea baru serasi zaman. Semuanya mempertingkatkan tamadun bangsa setara yang terbilang.

No comments:

Post a Comment